What's Hot

    Kami yakin dan pasti, anda datang ke sini untuk mengetahui cara kira dividen ASB yang terkini, iaitu untuk tahun 2020. Pasti tidak sabar untuk tengok baki duit dalam akaun ASB bertambah bukan?

    Langkau artikel ini untuk baca cara keluarkan duit ASB.

    Langkau juga artikel ini jika anda mahu tahu cara daftar ASB.

    Pelaburan ASB (Amanah Saham Bumiputera)

    Amanah Saham Bumiputera atau ASB merupakan sebuah unit amanah yang dikendalikan oleh Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB).

    ASB merupakan satu unit amanah yang dikhususkan untuk bumiputera sahaja. Untuk golongan bukan bumiputera, anda tidak dibenarkan untuk menyertai unit amanah ini, tetapi anda boleh memilih produk-produk ASNB yang lain.

    Tarikh keluar dividen ASB 2020

    Setakat ini, yang dimaklumkan hanyalah kadar dividen iaitu 5% dan 0.5% bonus sahaja.

    Jangkaan tarikh keluar belum lagi dimaklumkan.

    Kami akan kemaskini sebaik sahaja menerima maklumat terbaru.

     

    Sedikit sejarah mengenai ASB

    Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) ialah anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB), di mana PNB ditubuhkan pada 1978 sebagai alat penting Dasar Ekonomi Baru Kerajaan untuk menggalakkan pemilikan saham dalam sektor korporat, dalam kalangan bumiputera, serta memberi peluang kepada golongan professional bumiputera yang berkelayakan untuk menyertai perwujudan dan pengurusan harta.

    ASNB ditubuhkan pada 1979 sebagai syarikat pengurusan unit amanah di bawah PNB. Produk Amanah Saham Bumiputera (ASB) pula wujud pada 1990.

    Secara asasnya, ASB yang juga merupakan dana ini diwujudkan atas sebahagian daripada usaha merapatkan jurang ekonomi antara kaum bumiputera dan golongan bukan bumiputera. Selain itu, terdapat beberapa syarat bagi mereka yang ingin melabur:

    • Terbuka kepada golongan bumiputera sahaja
    • Mempunyai dua jenis akaun iaitu Akaun Dewasa (18 tahun dan ke atas) serta Akaun Remaja (ibu bapa atau penjaga sah dari kategori di atas yang melabur bagi kanak-kanak bumiputera yang berumur 18 tahun ke bawah serta mempunyai sijil kelahiran yang sah)

    Selain itu, terdapat beberapa ciri ASB yang anda perlu tahu:

    Had pelaburan maksimum

    Untuk dua jenis akaun ini, had pelaburan maksima adalah sebanyak RM200,000 sahaja dan tidak lebih. Ini adalah syarat bagi pelaburan asas.

    Akan tetapi, tambahan unit daripada pelaburan semula pengagihan pendapatan (dividen) tidak dikira dalam had RM200,000 ini. Sebagai contoh, anda melabur sebanyak RM200,000 pada tahun 2018, dan pada tahun berikutnya, kadar 6% diumumkan untuk dividen, maka sebanyak RM12,000 akan dimasukkan ke dalam akaun ASB  anda walaupun telah mengandungi RM200,000 kerana RM12,000 itu tidak tertakluk dalam had pelaburan maksima RM200,000 tersebut.

     

    Caj jualan dan jualan balik

    Dana ASB tidak mengenakan sebarang caj bagi jualan dan jualan balik, tidak seperti unit amanah lain seperti ekuiti, yang mengenakan caj jualan sehingga 5% daripada nilai pelaburan.

     

    Pelaburan permulaan dan pelaburan tambahan minimum

    Bagi anda yang ingin mula melabur dengan ASB, anda hanya memerlukan minimum sebanyak RM10 sahaja kerana RM10 merupakan nilai pelaburan minimum untuk ASB, manakala anda hanya memerlukan minimum RM1 bagi transaksi tunai untuk melakukan pelaburan tambahan, dan RM1000 untuk tambahan unit berbentuk sijil. Jadi, tiada alasan bagi anda malas untuk melabur.

     

    Dividen ASB yang kompetitif

    Mengikut sejarah ASB berupaya memberikan kadar pulangan atau dividen yang kompetatif berbanding unit amanah yang lain. Pernah dicatatkan bahawa dividen sebanyak 6.75% sehingga 10% diberikan semenjak penubuhannya sehingga tahun 2016.

     

    Faedah terkompaun

    Jika anda melabur RM200,000 pada permulaan, dan pada tahun berikutnya anda menerima kadar dividen sebanyak 6%, maka 6% yang akan masuk itu adalah sebanyak RM12,000. Jadi, jumlah unit yang berbaki dalam akaun anda adalah RM 212,000.

    Kemudian, apabila RM212,000 itu langsung tidak diusik oleh anda, dan kadar dividen kekal 6% untuk tahun berikutnya, maka anda akan menerima pula dividen 6% daripada RM212,000 iaitu RM 12,720 yang akan masuk ke dalam unit di akaun anda, menjadikan jumlah unit keseluruhan RM 224,720.

    Ini dinamakan sebagai faedah terkompaun. Anda hanya menerima faedah ini jika tiada pengeluaran agihan pendapatan dilakukan oleh anda.

    Untung sangat jika dapat dividen ASB dengan faedah terkompaun.

     

    Cara kira dividen ASB

    Mungkin ramai termasuk anda tertanya-tanya, bagaimana untuk mengira dividen ASB? Untuk pengetahuan anda, kadar dividen ASB untuk tahun 2019 masih sedang dikemas kini. Jadi, mari kita lihat kadar dividen dan cara pengiraannya berdasarkan tahun sebelumnya.

    Berdasarkan tahun 2018, agihan pendapatan ASB terdiri daripada dua komponen, iaitu:

     

    • Dividen sebanyak 6.50 sen seunit
    • Bonus sebanyak 0.50 sen seunit

    Cara kira dividen ASB 2018 adalah mengikut langkah-langkah yang berikut:

    • Dapatkan dahulu Baki Minimum Bulanan (BMB). Baki ini merupakan baki terendah yang pernah dicatakan di dalam akaun anda di antara 1hb sehingga hujung bulan. Dapatkan BMB untuk 12 bulan, bermula dari tahun Januari sehingga bulan Disember.
    • Setiap jumlah BMB bagi 12 bulan dicatatkan. Kemudian, campurkan kesemua BMB untuk 12 bulan tersebut.
    • Bahagikan jumlah keseluruhan BMB tersebut dengan 12 untuk mendapatkan Purata Baki Minimum Bulanan 12-Bulan, ataupun nama lainnya Baki Minimum Tahunan.
    • Kemudian, darabkan Baki Minimum Tahunan dengan kadar dividen/bonus. Misalnya:

     

    Contoh #1: Cara kira dividen ASB

    SITUASI A – Anda melabur sebanyak RM7000 pada Januari 2018, tidak langsung melakukan penambahan atau sebarang pengeluaran walau sesen pun dari Januari 2018 sehingga Disember 2018. Jadi berapakah agihan pendapatan yang anda akan dapat?

     

    Jika tiada sebarang pengeluaran & penambahan dilakukan untuk setiap bulan, maka BMB untuk setiap bulan sudah semestinya RM7000. Tambahkan untuk 12 bulan:

     

    RM7000 + RM7000 + RM7000 + RM7000 + RM7000 + RM7000 + RM7000 + RM7000 + RM7000 + RM7000 + RM7000 + RM7000 = RM 84,000

     

    Kemudian, bahagikan dengan 12 untuk Purata Baki Minimum Bulanan 12-Bulan

     

    RM84,000 / 12 = RM7,000

     

    Kemudian, darabkan dengan kadar dividen tahun 2018, iaitu 6.50%

     

    RM7,000 X (6.50/100) =  RM455 (DIVIDEN)

     

    Kemudian, RM7000 ini didarabkan pula dengan kadar bonus yang ditetapkan iaitu 0.50%.

     

    RM7,000 X (0.50/100) = RM35 (BONUS)

     

    Agihan Pendapatan anda = DIVIDEN + BONUS

    = RM455 + RM35

    = RM490

     

    1. Agihan pendapatan ini dimasukkan ke dalam unit akaun anda yang mempunyai jumlah RM7000 hasil pelaburan anda pada awal tahun, menjadikan jumlah keseluruhan

     

    RM7000 + RM490 = RM7490

     

    Maka, sebanyak RM7490 berada dalam unit akaun anda untuk dibawa ke tahun 2019.

     

    Contoh #2: Cara kira dividen ASB

    SITUASI B – Anda membuat pelaburan sebanyak RM7,000 pada Januari 2018, dan anda membuat penambahan sebanyak RM300 setiap bulan sehingga Disember 2018, serta beberapa kali membuat pengeluaran.

     

    Bulan Baki Awal (RM) Tambahan (RM) Pengeluaran (RM) Baki Akhir (RM) Baki Minimum Bulanan –BMB (RM)
    Januari 7,000.00 300.00 0.00 7,300.00 7,000.00
    Februari 7,300.00 300.00 500.00 7,100.00 7,100.00
    Mac 7,100.00 300.00 0.00 7,400.00 7,100.00
    April 7,400.00 300.00 0.00 7,700.00 7,400.00
    Mei 7,700.00 300.00 200.00 7,800.00 7,700.00
    Jun 7,800.00 300.00 0.00 8,100.00 7,800.00
    Julai 8,100.00 300.00 400.00 8,000.00 8,000.00
    Ogos 8,000.00 300.00 0.00 8,300.00 8,000.00
    September 8,300.00 300.00 0.00 8,600.00 8,300.00
    Oktober 8,600.00 300.00 0.00 8,900.00 8,600.00
    November 8,900.00 300.00 300.00 8,900.00 8,900.00
    Disember 8,900.00 300.00 0.00 9,200.00 8,900.00

     

    Tambahkan semua BMB untuk 12 bulan tersebut.

     

    RM7,000 + RM7,100 + RM7,100 + RM7,400 + RM7,700 + RM7,800 + RM8,000 + RM8,000 + RM8,300 + RM8,600 + RM8,900 + RM8,900 = RM94,800

     

    Bahagikan dengan 12 untuk mendapatkan Purata Baki Minimum Bulanan 12-Bulan

    RM94,800 / 12 = RM7900

     

    Darabkan dengan kadar dividen untuk tahun 2018, 6.50%

    RM7900 X (6.50/100) = RM513.50 (DIVIDEN)

     

    Darabkan dengan kadar bonus untuk tahun 2018, 0.50%

    RM7900 X (0.50/100) = RM39.50 (BONUS)

     

    Agihan pendapatan = DIVIDEN + BONUS

    = RM513.50 + RM39.50

    = RM553

     

    Jadi, jumlah agihan pendapatan anda untuk tahun 2018 adalah sebanyak RM553. Tambahkan dengan baki akhir pada Disember 2018

    RM8,900 + RM553 = RM9453

     

    Jadi, jumlah yang akan dibawa dalam akaun anda ke tahun hadapan adalah sebanyak RM9453.

    Duit itu sangat penting

    Wang sangat penting untuk kita sebagai manusia meneruskan kehidupan. Sama ada untuk memenuhi keperluan mahupun kehendak, wang menjadi medium untuk kita memperoleh apa yang kita mahu. Negara kita semakin maju ke hadapan.

    Seiring dengan itu, banyak perkara yang kita perlu lakukan untuk menjamin kelangsungan hidup kita. Membeli rumah, membeli dan menyelenggara kenderaan, makanan dan pakaian, semuanya memerlukan wang.

    Wang juga diperlukan untuk menyara kehidupan keluarga, dan komitmen sebegini semakin banyak untuk mereka yang sudah berkeluarga. Walaupun begitu, di samping banyak komitmen yang perlu dipenuhi, kita juga perlulah belajar berjimat cermat.

    Hal ini disebabkan wang bukan mudah untuk diperoleh, dan wang digunakan untuk jangka masa yang panjang.

    Anda pasti akan menghadapi kesukaran apabila wang tidak mencukupi. Berjimat-cermat mengajar anda untuk tidak boros dan sentiasa bersyukur dengan apa yang ada. Untuk berjimat cermat mungkin agak sukar bagi sesetengah orang, jadi mereka perlulah belajar untuk menabung. Menabung membantu anda mengumpulkan duit sehingga banyak, supaya mudah untuk anda menggunakannya pada masa hadapan. Selain itu, anda juga boleh mula melabur. Apa itu melabur?

     

    Perkongsian tentang pelaburan

    Dari segi istilah, pelaburan adalah komitmen wang atau modal untuk membeli instrumen kewangan atau aset lain bagi mendapatkan hasil yang menguntungkan dalam bentuk bayaran faedah, pendapatan, atau penambahan nilai instrumen.

    Antara kepentingan pelaburan adalah untuk mencapai matlamat kewangan, mengatasi inflasi dan menambah pendapatan. Hakikat yang mungkin pahit untuk kita telan zaman sekarang adalah apabila berlakunya inflasi.

    Inflasi dari segi ekonomi bermaksud suatu kenaikan dalam tingkat harga umum barangan dan perkhidmatan dalam sesebuah ekonomi dari semasa ke semasa. Inflasi juga mencerminkan penurunan dalam kuasa beli wang iaitu satu kehilangan nilai sebenar dalam medium pertukaran dalaman dan unit akaun dalam sesebuah ekonomi.

    Pasti sukar untuk syarikat mahupun individu menghadap inflasi, menjadikan pelaburan sebagai salah satu cara untuk counter masalah ini.

     

    Jauhi Skim Cepat Kaya dan scammer

    Walau bagaimanapun, pelaburan juga mempunyai risikonya yang tersendiri. Bagi yang mudah terpengaruh dengan sindiket penipuan seperti Skim Cepat Kaya dan juga scammers, individu tersebut akan menghadapi masalah sehingga mampu hilang punca pendapatan. Sesetengah individu mahukan hasil yang segera dalam pelaburan mereka tanpa memikirkan risiko sebegini.

    Oleh itu, individu perlu tahu lebih awal jenis pelaburan yang mereka ingin lakukan, dan juga tujuan pelaburan tersebut, sama ada untuk mengembangkan modal bagi mereka yang berniaga, ataupun untuk mendapatkan aliran tunai bulanan. Selain itu, mereka perlu lakukan jenis pelaburan yang mereka fahami sepenuhnya sahaja.

    Misalnya, anda ingin membuat pelaburan saham. Untuk membuat pelaburan ini, anda perlu tahu dan faham tentang perkara asas seperti cara jual beli, kiraan unit, caj-caj terlibat, modal yang diperlukan, cara memilih kauter terbaik, analisa fundamental, analisa teknikal dan sebagainya. Dalam membuat pelaburan, jangan sekali-kali mengikut orang lain.

     

    Pelaburan yang sah, berdaftar dan halal

    Sebaiknya kita sendiri yang menbuat keputusan berdasarkan kefahaman dan pengetahuan sendiri. Terdapat beberapa jenis pelaburan yang anda boleh lakukan:

    • Pelaburan tunai dan faedah tetap
    • Saham
    • Dana unit amanah
    • Hartanah
    • Bon
    • Danah Amanah Pelaburan Hartanah (Real Estate Investment Trust – REIT)

    Jika anda berpuas hati dengan dividen sebanyak 8% setahun, Amanah Saham Bumiputera (ASB) adalah tempat terbaik untuk anda melabur.

     

    Akhir kata

    Mudah bukan? Tidak kira walau kadar dividen dan kadar bonus bertukar setiap tahun, beginilah cara kira dividen ASB yang anda boleh aplikasikan untuk mengira jumlah agihan pendapatan anda.

    Jangan risau, pelaburan ini adalah pelaburan jangka panjang dan halal di sisi Islam.

    Melaburlah sekarang dengan ASB. Rajin-rajinlah tunggu pengumuman di www.asnb.com.my

    Semoga bermanfaat.

     

    Adam Haris merupakan individu yang minat bidang computer security, cybersecurity, digital security dan information technology security (IT security). Adam juga berkongsi pengetahuan dan pandangan tentang topik berkaitan scam dan penipuan.

    2 Comments

    1. Rebecca Bulan Lejau on

      Pelaburan saham asb memang sesuai dilakukan oleh setiap orang demi masa depan keluarga yang terjamin

    Leave A Reply