Terdapat beberapa cara daftar mengundi. Jika anda sudah cukup umur, silakan terus mendaftar sebagai pengundi bagi pilihan raya yang akan dijalankan di Malaysia setiap 4 tahun. Sama ada online atau offline, di bawah adalah beberapa alternatif atau cara yang boleh anda gunakan.
Cara daftar mengundi online
Permohonan sebagai pengundi secara online di MySPR Daftar hanya boleh dilakukan oleh warganegara Malaysia yang tidak bekerja sebagai polis atau tentera. Perlu diingatkan juga bahawa pendaftaran secara online ini tidak boleh dilakukan oleh warganegara Malaysia yang sedang berada di luar negara. Anda perlu mendaftar secara manual sebagai Pengundi Tidak Hadir (PTH). Rujuk manual di atas.
Untuk mendaftar secara online:
- Layari laman web rasmi MySPR Daftar oleh Suruhanjaya Pilihan Raya di sini: https://mysprdaftar.spr.gov.my
- Kemudian, pada paparan laman web, tekan butang PERMOHONAN AKAUN BARU.
- Pada laman seterusnya, beberapa ruangan perlu anda isikan. Pada ruangan KAD PENGENALAN BARU (TANPA ‘-‘ ATAU ‘SPACE’), masukkan nombor kad pengenalan MyKad anda. Perlu diingatkan bahawa tanda ‘-‘ dan jarak tidak dibenarkan.
- Kemudian, pada ruangan NAMA SEPERTI KAD PENGENALAN, masukkan nama penuh anda sama seperti yang tertera pada MyKad anda.
- Pada ruangan TARIKH LAHIR, tekan pada ruangan dan kalendar akan tertera. Pilih tarikh lahir anda.
- Pada ruangan +60, pilih kod nombor telefon mengikut negara anda. Untuk Malaysia, pilih +60.
- Pada ruangan TELEFON BIMBIT, masukkan nombor telefon anda yang aktif dan boleh dihubungi.
- Pada ruangan E-MEL, masukkan emel anda yang aktif dan boleh diakses.
- Pada ruangan KATA LALUAN, masukkan password yang anda ingin gunakan untuk akaun anda.
- Pada ruangan MENGESAH KATA LALUAN, masukkan semula password yang telah anda cipta.
- Pada ruangan – SOALAN KESELAMATAN – , pilih satu soalan yang tertera. Kemudian, pada ruangan JAWAPAN KESELAMATAN, masukkan jawapan untuk soalan tersebut. Diingatkan bahawa hanya anda sahaja yang boleh tahu jawapan untuk soalan tersebut. Ini untuk mengelakkan akaun anda diceroboh oleh orang lain.
- Pada bahagian ALAMAT LENGKAP SEPERTI DALAM KAD PENGENALAN, masukkan alamat penuh anda seperti yang tertera dalam kad pengenalan anda. Gunakan setiap ruangan pada BARIS 1, BARIS 2 dan BARIS 3 untuk mengisi alamat anda. Sekiranya ada baris yang anda tidak gunakan, masukkan simbol ‘–‘.
- Pada ruangan – NEGERI –, pilih negeri untuk alamat anda.
- Pada ruangan – BANDAR –, pilih bandar untuk alamat anda.
- Pada ruangan POSKOD, masukkan poskod untuk alamat anda.
- Pastikan anda telah menangkap gambar MyKad anda untuk teruskan cara daftar mengundi seara online. Gambar yang diperlukan ialah gambar pada bahagian hadapan MyKad anda, yang memaparkan maklumat penuh anda, iaitu gambar, nama penuh, nombor pengenalan serta alamat anda.
- Selain itu, anda juga perlu menangkap gambar diri anda bersama kad pengenalan anda. Rujuk link Contoh Gambar untuk mendapatkan prosedur yang betul untuk menangkap gambar anda.
- Kemudian, setelah selesai, tekan butang GAMBAR DEPAN MYKAD, dan upload gambar MyKad anda ke sistem. Saiz gambar anda mestilah tidak melebihi daripada 500KB. Format yang dibenarkan ialah JPG dan PNG.
- Kemudian, tekan butang GAMBAR SWAFOTO (SELFIE) BERSAMA MYKAD. Upload gambar anda bersama MyKad anda ke sistem. Saiz gambar anda mestilah tidak melebihi daripada 500KB. Format yang dibenarkan ialah JPG dan PNG.
- Seterusnya, pada ruangan Masukkan Captcha, masukkan kod Captcha yang tertera di atas ruangan tersebut.
- Kemudian, tekan link Dasar Privasi. Pastikan anda membaca kesemuanya.
- Sekiranya anda bersetuju, tekan butang HANTAR.
- Pendaftaran anda akan diproses dan diverifikasi oleh Pegawai SPR. Permohonan pendaftaran anda akan diproses pada hari yang sama sekiranya dihantar pada jam antara 8 pagi sehingga 12 tengah hari pada hari yang sama. Sekiranya permohonan dihantar selepas jam 12 tengah hari, permohonan ini akan diproses pada hari yang berikutnya mengikut hari bekerja. Permohonan anda juga hanya akan diproses pada hari bekerja yang berikutnya sekiranya dihantar pada hari Sabtu, Ahad atau Hari Kelepasan Am.
- Apabila pengesahan telah dibuat, anda akan mendapat emel daripada pihak SPR.
- Buka emel tersebut. Emel ini ialah emel untuk memproses pengaktifan akaun anda.
- Tekan link yang tertera pada emel tersebut. Laman Pengaktifan Akaun akan tertera.
- Masukkan nombor MyKad anda dan password anda yang anda gunakan untuk akaun anda.
- Kemudian, klik butang MOHON TAC. Anda akan mendapat SMS daripada pihak SPR yang mengandungi kod TAC. Masukkan kod TAC itu pada ruangan tersebut.
- Klik butang HANTAR.
- Pendaftaran online anda berjaya. Paparan login akan tertera. Untuk login ke akaun anda, masukkan nombor MyKad anda, password anda dan masukkan juga kod Captcha yang tertera dan tekan butang LOG MASUK. Anda akan dapat akses akaun MySPR Daftar anda.
Cara daftar mengundi secara offline
Untuk Pemilih Biasa
- Datang sendiri ke mana-mana pusat pendaftaran untuk mengundi. Pusat pendaftaran pengundi di seluruh Malaysia adalah seperti berikut:
- Kaunter Pendaftaran Pemilih di Ibu Pejabat SPR Malaysia, Putrajaya
- Pejabat-pejabat Pilihan Raya Negeri
- Pejabat-pejabat POS Malaysia di seluruh negara
- Kaunter SPR yang dibuka melalui Program Outreach di kawasan tumpuan orang ramai
- Pejabat-pejabat Kedutaan, Suruhanjaya Tinggi & Konsulat Jeneral di Luar Negeri. Klik pada laman web berikut https://www.kln.gov.my/web/guest/malaysian-mission.
- Penolong Pendaftar Pemilih yang dilantik daripada kalangan kakitangan agensi-agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi tempatan dan ahli-ahli pertubuhan bukan kerajaan
- Serahkan kad pengenalan anda kepada petugas SPR yang akan mengisikan borang pendaftaran anda.
- Semak borang pendaftaran yang telah diisikan oleh petugas SPR dan pastikan semua maklumat yang diisikan adalah betul dan mengikut sebagaimana maklumat diri anda yang tertera dalam kad pengenalan anda.
- Jika anda berpuas hati, tandatangan pada borang pendaftaran tersebut.
- Dapatkan salinan borang pendaftaran dan simpan sebagai bukti sekiranya perlu untuk membuat sebarang tuntutan semasa tempoh pameran, Rang Daftar Pemilih Tambahan nanti.
Mendaftar undi bagi pengundi tidak hadir
Anggota Tentera
Cara daftar mengundi untuk anggota tentera tidak sama dengan orang awam.
Pendaftaran sebagai Pengundi Tidak Hadir (PTH) dalam kalangan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dilaksanakan oleh pegawai-pegawai JRP-ATM. Untuk mendaftar sebagai PTH, anda perlulah:
- Menghubungi petugas-petugas SPR yang dilantik dari kalangan pegawai JRP.
- Serahkan kad pengenalan tentera anda dan MyKad (untuk pasangan) kepada petugas yang dilantik oleh SPR yang akan mengisikan borang pendaftaran anda.
- Apabila diserahkan kembali borang yang telah diisikan, semak borang pendaftaran yang telah diisikan dan pastikan semua maklumat yang diisikan adalah betul.
- Jika anda berpuas hati, tandatangan pada borang pendaftaran tersebut.
- Dapatkan salinan borang pendaftaran dan simpan sebagai bukti sekiranya perlu untuk membuat sebarang tuntutan semasa tempoh pameran draf Daftar Pemilih Tambahan.
- Diingatkan bahawa Pusat Mengundi anggota ATM dan pasangan adalah ditetapkan mengikut alamat tempat bertugas anggota ATM tersebut.
- Selain itu, hanya anggota ATM dan pasangannya sahaja yang layak untuk mendaftar sebagai PTH. Anggota keluarga yang lain perlu mendaftar sebagai pemilih biasa dan Pusat Mengundi ditetapkan menggunakan alamat kediaman pemohon (sebagaimana dalam kad pengenalan).
Untuk Pengundi Dalam Kalangan Warganegara Malaysia Yang Berada Di Luar Negara
Cara daftar mengundi untuk rakyat Malaysia di luar negara juga sedikit berlainan.
Penjawat Awam atau pelajar yang sedang berada di luar negara juga akan dikira sebagai Pengundi Tidak Hadir (PTH). Pendaftaran PTH dalam kalangan mereka ini, serta pasangan mereka akan dilaksanakan oleh pegawai-pegawai pejabat Pesuruhjaya Tinggi, Kedutaan atau Konsulat Malaysia di luar negara.
Untuk mendaftar sebagai PTH (luar negara):
- Datang sendiri ke pejabat Pesuruhjaya Tinggi, Kedutaan atau Konsulat Malaysia di luar negara.
- Serahkan MyKad atau pasport anda kepada petugas yang dilantik oleh SPR yang akan mengisikan borang pendaftaran anda;
- Nyatakan alamat tempat tinggal di luar negara anda, pekerjaan anda dan nombor siri borang A kepada petugas untuk diisikan dalam sehelai kertas A4 dan dikepilkan dengan borang pendaftaran anda.
- Semak borang pendaftaran yang telah diisikan dan pastikan semua maklumat yang diisikan adalah betul.
- Jika anda berpuas hati, tandatangan pada borang pendaftaran tersebut.
- Dapatkan salinan borang pendaftaran dan simpan sebagai bukti sekiranya perlu untuk membuat sebarang tuntutan semasa tempoh pameran Rang Daftar Pemilih Tambahan.
- Perlu diingatkan bahawa hanya penjawat awam dan pasangannya dan pelajar dan pasangannya sahaja yang layak untuk mendaftar sebagai PTH (Luar Negara). Anggota keluarga yang lain perlu mendaftar sebagai pengundi biasa dan Pusat Mengundi ditetapkan menggunakan alamat kediaman pemohon di Malaysia (sebagaimana dalam kad pengenalan).
- Selain itu, warganegara Malaysia yang menetap/bekerja di luar negara (bukan penjawat awam/pelajar/pasangan penjawat awam/pasangan pelajar) boleh memohon untuk berdaftar sebagai pengundi biasa di mana-mana pejabat Pesuruhjaya Tinggi, Kedutaan atau Konsulat Malaysia di luar negara.
- Di samping itu, status sebagai PTH (Luar Negara) adalah kekal sehingga pemilih memohon pendaftaran semula sebagai pengundi biasa setelah pulang ke Malaysia.
Akhir kata
Tak suka dengan apa-apa polisi? Jangan bising sana bising sini.
Tunjukkan kuasa anda dengan turun mengundi semasa pilihanraya yang dikelolakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Diharapkan agar perkongsian cara daftar mengundi ini akan terus semarakkan lagi semangat anda untuk lihat perubahan terbaik di negara kita yang tercinta; dan dalam masa yang sama melahirkan rasa tanggungjawab anda kepada negara.
Jemput baca tentang cara daftar MyASNB jika anda mahu buat simpanan yang dijamin oleh kerajaan. Bertukar kerajaan A ke kerajaan B; atau sebaliknya, ASB tetap akan dijaga dengan baik.
Semoga bermanfaat.
1 Comment
Makan nasi