Celcom Prepaid ialah salah satu perkhidmatan pra-bayar (prepaid) yang ditawarkan oleh syarikat CelcomDigi. Pengguna boleh membeli kredit atau data terlebih dahulu dan kemudian menggunakan kredit atau data tersebut untuk membuat panggilan, menghantar mesej, atau melayari internet. Pengguna Celcom Prepaid tidak terikat dengan kontrak jangka panjang, tiada komitmen bulanan dan mempunyai kawalan penuh terhadap perbelanjaan.
Pengguna Celcom Prepaid boleh menambah nilai (topup) kredit melalui SMS, USSD dan aplikasi Celcom Life, berkongsi kredit dengan pengguna Celcom lain menggunakan perkhidmatan Credit Share, menyemak baki kredit, dan menyemak kuota data internet.
PraBayar Celcom (Celcom Prepaid)
Bagaimana Cara Topup Celcom Prepaid?
Topup Celcom Prepaid atau tambah nilai merujuk kepada proses menambah nilai kredit atau data ke dalam akaun pra-bayar Celcom. Ia membolehkan pengguna terus menggunakan perkhidmatan Celcom seperti membuat panggilan, menghantar SMS, dan melayari internet.
Apabila anda mendaftar untuk perkhidmatan Celcom Prepaid, anda perlu membeli kredit atau data terlebih dahulu sebelum dapat menggunakannya. Ini berbeza dengan pelan pasca-bayar (postpaid) di mana anda akan menerima bil pada akhir setiap bulan berdasarkan penggunaan anda.
Berikut adalah cara-cara untuk topup Celcom Prepaid:
1. Topup Menggunakan Aplikasi Celcom Life
Anda boleh menggunakan aplikasi Celcom Life untuk membuat topup dengan mudah. Muat turun dan pasang (install) aplikasi Celcom Life. Log masuk ke akaun anda, pilih “Top Up”, dan tentukan jumlah topup yang diingini seperti RM5 atau RM10. Anda boleh memilih pelbagai kaedah pembayaran seperti kad kredit atau perbankan internet. Sahkan transaksi tersebut untuk menyelesaikan proses topup.
2. Topup Menggunakan Kad Topup Fizikal
Sekiranya anda lebih selesa menggunakan kad topup, anda boleh membelinya dari kedai atau platform dalam talian. Selepas mendapatkan kad topup fizikal, gosok bahagian kad untuk mendapatkan kod PIN 16-digit. Dail 122<16-digit PIN># dan tekan butang panggil untuk menyelesaikan proses topup.
3. Topup Melalui Perbankan Dalam Talian (FPX)
Topup juga boleh dilakukan melalui perbankan dalam talian seperti Maybank2u atau CIMB Clicks. Log masuk ke laman web perbankan dalam talian anda, pilih “Reload Prepaid”, masukkan nombor telefon dan jumlah topup yang diingini. Ikuti arahan yang diberikan untuk menyelesaikan transaksi tambah nilai tersebut.
4. Topup untuk Nombor Lain
Sekiranya anda ingin membuat topup untuk nombor lain, anda boleh berbuat demikian dengan mendail 122*# dan menekan butang panggil. Anda juga boleh menggunakan perbankan dalam talian seperti Maybank2u untuk membuat topup kepada nombor penerima.
Anda boleh mengawal perbelanjaan anda dengan lebih baik kerana anda hanya perlu membayar untuk jumlah yang anda perlukan. Apabila kredit atau data anda semakin berkurang, anda boleh membuat topup semula untuk terus menikmati perkhidmatan Celcom tanpa gangguan.
Berapa Lama Tempoh Sah Topup/Reload/Tambah Nilai Celcom?
Tempoh sah tambah nilai anda bergantung kepada jumlah tambah nilai. Untuk Celcom, tambah nilai RM5 mempunyai tempoh sah selama 5 hari, RM10 selama 10 hari, RM30 selama 30 hari, RM50 selama 50 hari, dan RM100 selama 100 hari.
Bagi Digi pula, tambah nilai RM5 mempunyai tempoh sah selama 5 hari, RM10 selama 10 hari, RM15 selama 15 hari, RM30 selama 30 hari, RM50 selama 50 hari, dan RM100 selama 120 hari.
Untuk sebarang jumlah tambah nilai yang melebihi RM100, tempoh sah akan dihadkan pada 120 hari. Tempoh sah kredit anda bermula dari hari anda berjaya menambah nilai dan anda boleh mempunyai sehingga RM1,000 kredit atau baki tambah nilai dalam akaun anda.
Bolehkah Tempoh Sah Topup/Reload/Tambah Nilai Celcom Dilanjutkan?
Ya, tempoh sah talian prabayar Celcom boleh dilanjutkan dan tempoh dipanjangkan lagi (extend the validity) mengikut pilihan pelanggan.
Untuk Celcom, terdapat tiga pilihan pelanjutan tempoh sah iaitu RM1 untuk 1 hari, RM2 untuk 3 hari, dan RM8 untuk 15 hari. Untuk membeli pelanjutan tempoh sah, anda boleh menggunakan aplikasi Celcom Life dengan mengikuti langkah-langkah berikut: Log masuk ke aplikasi Celcom Life > Ketik ‘More’ > Klik ‘Support & Services’ > Pilih ‘Validity Extension’ > Pilih pelanjutan tempoh sah yang diingini. Atau, anda juga boleh mendail *118# > ‘1 My Account’ > ‘3 Extra Credit Validity’ > Pilih tempoh sah kredit yang diingini > Klik sahkan.
Bagi Digi, terdapat dua pilihan pelanjutan tempoh sah bergantung pada pelan kadar yang layak. Untuk Digi Prepaid NEXT dan Raja Kombo, anda boleh mendapatkan pelanjutan tempoh sah RM1 untuk 1 hari atau RM108 untuk 365 hari.
Bagi Digi Prepaid LiVE, pelanjutan tempoh sah RM1 untuk 1 hari sahaja yang dibenarkan. Untuk membeli pelanjutan tempoh sah, anda boleh menggunakan aplikasi MyDigi dengan mengikuti langkah-langkah berikut:
Log masuk ke aplikasi MyDigi > Pilih ‘Reload’ > Pilih ‘Validity’ > Pilih pelanjutan tempoh sah yang diingini. Atau, anda juga boleh mendail *128# > Pilih ‘My Account’ > ‘4 Talktime Services’ > ‘3 Super Long Life’ > Pilih tempoh sah kredit yang diingini.
Setelah berjaya melanggan pelanjutan tempoh sah, tempoh sah baharu akan ditambah kepada tempoh sah kredit semasa anda. Anda akan mempunyai pilihan tempoh sah akaun berdasarkan baki kredit yang ada. Sebagai contoh, anda mesti mempunyai baki melebihi RM108 untuk mendapatkan pilihan ‘RM108 untuk 365 hari’ pada aplikasi MyDigi.
Bagaimana Cara Share Kredit Celcom Prepaid?
Share Kredit Celcom (Credit Share) adalah satu perkhidmatan yang membolehkan pelanggan pra-bayar Celcom berkongsi kredit mereka dengan pelanggan pra-bayar Celcom yang lain. Ini bermakna jika anda mempunyai lebihan kredit dalam akaun pra-bayar Celcom anda, anda boleh menghantar atau memindahkan sebahagian daripadanya kepada rakan atau keluarga yang juga menggunakan perkhidmatan pra-bayar Celcom.
Perkhidmatan ini amat berguna dalam situasi kecemasan di mana seseorang mungkin kehabisan kredit dan perlu membuat panggilan penting atau menghantar mesej teks. Pelanggan Celcom boleh meminta bantuan daripada rakan atau ahli keluarga untuk berkongsi sedikit kredit sehingga mereka dapat membuat topup semula.
Berikut adalah cara-cara untuk memindahkan kredit Celcom dan Digi:
1. Buat Transaksi Pemindahan Kredit Melalui SMS, USSD dan Aplikasi (Bagi Penggunaan Domestik di Dalam Malaysia)
Pelanggan Celcom di Malaysia boleh memindahkan kredit melalui SMS dengan menaip RM dan menghantar ke 1. Taip “RM” diikuti dengan nombor telefon penerima dengan format 1 di hadapan (contoh: RM10 1012345678). Sebagai contoh, jika anda ingin berkongsi RM10 kepada nombor 0123456789, mesejnya ialah “RM10 1012345678”.
Pelanggan Celcom dan Digi juga boleh menggunakan kod USSD untuk memindahkan kredit. Untuk Celcom, dail 3654*2#, tekan 1 untuk ‘Pindah Kredit’, balas dengan jumlah kredit dan nombor telefon penerima, dan pilih 1 untuk meneruskan transaksi.
Bagi Digi pula, dail *128#, tekan ‘1 Akaun Saya’, ‘4 Talktime Services’, ‘1 Talktime Transfer’, masukkan nombor penerima, dan pilih amaun/nilai/denominasi untuk menyelesaikan transaksi.
Pemindahan kredit juga boleh dilakukan melalui aplikasi Celcom Life dengan memilih ‘Tambah nilai’, ‘Lain-lain’, dan memasukkan nombor telefon serta jumlah yang ingin dipindahkan. Walau bagaimanapun, pemindahan kredit tidak tersedia di aplikasi MyDigi.
2. Buat Pemindahan Kredit (Credit Transfer) Antarabangsa
Pelanggan prabayar Digi boleh memindahkan kredit antarabangsa kepada pengguna prabayar di luar Malaysia. Untuk berbuat demikian, dail *128#, tekan ‘1 Akaun Saya’, ‘4 Talktime Services’, ‘4 Talktime Transfer International’, pilih negara nombor telefon penerima, masukkan nombor telefon, dan pilih denominasi untuk menyelesaikan transaksi.
Senarai produk mungkin berbeza mengikut negara. Negara-negara yang layak termasuk Indonesia, Bangladesh, Nepal, Myanmar, Pakistan, India, Filipina, China, Vietnam, Thailand, Kemboja, dan Sri Lanka.
Pelanggan prabayar Celcom tidak boleh memindahkan kredit antarabangsa kepada pengguna prabayar di luar Malaysia.
Apakah Syarat Pemindahan Kredit (Credit Transfer)?
Pelanggan Celcom boleh memindahkan sebarang jumlah, tetapi terhad kepada RM25 bagi setiap transaksi dan RM100 sehari. Jumlah pemindahan mestilah genap. Caj perkhidmatan sebanyak RM0.50 akan dikenakan untuk setiap pemindahan yang berjaya.
Bagi pelanggan Digi, jumlah maksimum pemindahan kredit dari Digi Postpaid ke Digi Prepaid adalah RM15 atau tiga transaksi sehari, tertakluk kepada RM100 sebulan. Jumlah yang berbeza akan dikenakan caj perkhidmatan dan tempoh sah yang berlainan, seperti yang dinyatakan dalam jadual yang disediakan.
Berapa Caj Credit Transfer Prepaid ke Prepaid?
Anda boleh memindahkan kredit dengan nilai/denominasi RM3.00 dengan caj perkhidmatan RM0.80 dan tempoh sah selama 2 hari. Nilai/denominasi RM5.00 juga dikenakan caj perkhidmatan RM0.80 dengan tempoh sah yang sama iaitu selama 2 hari.
Untuk pindahan kredit bernilai RM15.00, caj perkhidmatan yang dikenakan ialah RM1.50 dengan tempoh sah selama 4 hari. Manakala, bagi credit transfer yang bernilai RM25.00, caj perkhidmatan yang dikenakan ialah RM1.50 dengan tempoh sah selama 4 hari.
Berapa Caj Credit Transfer Postpaid ke Prepaid?
Anda boleh memindahkan kredit dengan nilai/denominasi RM3.00 dengan caj perkhidmatan RM0.80 dan tempoh sah selama 2 hari. Nilai/enominasi RM5.00 dikenakan caj perkhidmatan RM0.80 dengan tempoh sah selama 2 hari.
Untuk pemindahan kredit bernilai RM15.00, caj perkhidmatan yang dikenakan ialah RM1.50 dengan tempoh sah selama 4 hari. Tiada credit transfer yang bernilai RM25.00 untuk postpaid ke prepaid.
Bagaimana Cara Pinjam Kredit Celcom Prepaid (SOS Topup)?
Perkhidmatan pinjam kredit Celcom Prepaid, juga dikenali sebagai SOS Topup, adalah kemudahan yang ditawarkan oleh Celcom dan Digi kepada pengguna prabayar mereka untuk meminjam kredit panggilan atau data apabila baki tidak mencukupi. Terdapat dua kaedah untuk meminjam kredit Celcom iaitu melalui SMS dan aplikasi Celcom Life.
Untuk meminjam kredit melalui SMS, anda perlu menghantar kata kunci tertentu ke nombor 22262. Kata kunci ini berbeza mengikut jumlah yang ingin dipinjam: ‘ADV1’ untuk RM1, ‘ADV2’ untuk RM2, ‘ADV3’ untuk RM3, ‘ADV5’ untuk RM5, ‘ADV7’ untuk RM7, dan ‘ADV10’ untuk RM10.
Jika anda lebih suka menggunakan aplikasi, muat turun Celcom Life dari App Store atau Google Play Store. Selepas log masuk, pilih “My Services”, kemudian “Credit Advance”. Anda boleh memilih jumlah kredit yang diperlukan dan mengesahkan permintaan anda melalui aplikasi ini.
Celcom mengenakan caj perkhidmatan sebanyak 25% daripada jumlah pinjaman kredit. Sebagai contoh, jika anda meminjam RM10, caj tambahan sebanyak RM2.50 akan dikenakan.
Tempoh sah kredit Celcom yang dipinjam berbeza mengikut jumlah: RM1 dan RM2 sah selama 1 hari, RM3, RM5, dan RM7 sah selama 2 hari, manakala RM10 sah selama 3 hari.
Bagaimana Cara Semak Balance Celcom Prepaid (Check Balance)?
Berikut adalah cara-cara untuk check baki kredit Celcom Prepaid melalui kaedah SMS, USSD dan aplikasi:
1. Menggunakan SMS
Untuk menyemak baki kredit Celcom melalui SMS, buka aplikasi mesej pada telefon anda, taip “BAL” dan hantarkan ke 28882. Anda akan menerima mesej balasan yang mengandungi maklumat baki kredit dan data.
2. Menggunakan Kod USSD
Untuk menyemak baki kredit menggunakan kod USSD, anda boleh mendail *118# pada telefon bimbit anda, kemudian pilih “My Account” dan “Check Balance”. Maklumat baki akan dipaparkan di skrin dan juga akan dihantar melalui SMS. Alternatif lain adalah dengan mendail *122# dan pilih “Check Balance” dari menu utama.
3. Menggunakan Aplikasi Celcom Life
Anda juga boleh menggunakan aplikasi Celcom Life untuk menyemak baki kredit dan data. Muat turun dan pasang aplikasi Celcom Life dari Google Play Store atau Apple App Store. Selepas log masuk, anda boleh melihat baki kredit dan data pada skrin utama aplikasi. Pastikan anda mempunyai sambungan internet untuk menggunakan aplikasi Celcom Life.
Bagaimana Cara Semak Penggunaan Kuota Celcom?
Semakan penggunaan kuoto bagi pengguna Celcom Prepaid boleh dilakukan untuk peranti Android dan Apple iPhone/iPad.
Untuk menyemak penggunaan kuota data pada peranti Android, buka aplikasi Settings. Kemudian, klik ‘Connections’ dan pilih ‘Data Usage’. Seterusnya, klik ‘Mobile Data Usage’. Di bahagian atas skrin, anda akan melihat penggunaan data untuk bulan semasa (berdasarkan kitaran pengebilan anda). Anda boleh klik tarikh untuk melihat tempoh sebelumnya. Skrol ke bawah dan ketik mana-mana aplikasi untuk mengetahui jumlah data yang digunakannya dan untuk mengawal sama ada ia boleh menggunakan Data Mudah Alih, Wi-Fi, atau kedua-duanya. Kembali ke ‘Data Usage’ dan ketik ‘Billing Cycle’ untuk menetapkan tarikh apabila pelan anda menetapkan semula kitaran pengebilan bulanan.
Bagi pengguna Apple iPhone pula, untuk melihat penggunaan keseluruhan, pergi ke ‘Settings’ > ‘Cellular’ atau ‘Settings’ > ‘Mobile Data’. Jika anda menggunakan iPad, anda mungkin akan melihat ‘Settings’ > ‘Cellular Data’. Untuk melihat kuota internet yang digunakan oleh setiap aplikasi pada telefon anda, skrol ke bawah. Jika anda tidak mahu sesuatu aplikasi menggunakan data, anda boleh mematikannya untuk aplikasi tersebut. Apabila data dimatikan untuk aplikasi itu, ia hanya akan menggunakan WiFi.
Apa Senarai Pelan Celcom Prepaid 5G?
Pelan CelcomDigi Prepaid 5G terbahagi kepada dua jenis edisi, iaitu Edisi Biru dan Edisi Kuning. Untuk Edisi Biru, pelan RM25/bulan menawarkan 15GB data 5G/4G berkelajuan tinggi pada 100Mbps, internet tanpa had pada kelajuan 1Mbps selepas kuota habis, panggilan tanpa had ke semua rangkaian, dan 3GB Hotspot (kelajuan 100Mbps). Manakala, pelan RM39/bulan memberikan 55GB data 5G/4G berkelajuan tinggi pada 100Mbps, internet tanpa had pada kelajuan 3Mbps selepas kuota habis, panggilan tanpa had ke semua rangkaian, dan 3GB Hotspot (kelajuan 100Mbps). Selain itu, pelanggan juga boleh memilih langganan ‘bundle’ Viu atau iQiyi dengan tambahan kos.
Bagi Edisi Kuning, pelan RM25/bulan menawarkan 30GB data 5G/4G berkelajuan tinggi pada 100Mbps, panggilan tanpa had ke semua rangkaian, dan 6GB Hotspot (kelajuan 100Mbps). Pelan RM39/bulan pula menyediakan 75GB data 5G/4G berkelajuan tinggi pada 100Mbps, panggilan tanpa had ke semua rangkaian, dan 6GB Hotspot (kelajuan 100Mbps).
Selain pelan-pelan utama, terdapat juga Booster 5G Enhanced yang memberikan tambahan kuota data 5G/4G dengan kelajuan hingga 100Mbps, serta Video Pass dengan harga RM6 untuk 300GB data streaming video di platform seperti Netflix, YouTube, AstroGo, Viu, dan iQIYI dengan tempoh sah 4 hari.
Adakah Celcom Prepaid Mempunyai Pelan Unlimited Data?
Ya, Celcom Prepaid menawarkan pelan data tanpa had, termasuk pelan panggilan tanpa had ke semua rangkaian. Pelan ini dikenali sebagai CelcomDigi Prepaid 5G Edisi Biru dan Edisi Kuning, yang mana kedua-duanya menawarkan pilihan internet tanpa had dengan kadar yang berpatutan.
1. Edisi Biru Menawarkan Data Tanpa Had, Internet Pantas dan Panggilan Tanpa Had
Edisi Biru merupakan pelan Celcom Prepaid yang berharga RM25/bulan, yang menawarkan 15GB data berkelajuan tinggi pada 100Mbps. Selepas kuota ini habis, kelajuan internet akan dikurangkan kepada 1Mbps. Pelan ini juga termasuk panggilan tanpa had ke semua rangkaian dan 3GB kuota hotspot.
Pelan RM39/bulan menawarkan 55GB data berkelajuan tinggi pada 100Mbps. Selepas kuota ini habis, kelajuan internet akan dikurangkan kepada 3Mbps. Pelan ini juga termasuk panggilan tanpa had ke semua rangkaian dan 3GB kuota hotspot.
2. Edisi Kuning Menawarkan Internet Pantas Dengan Panggilan Tanpa Had
Edisi Kuning merupakan pelan Celcom Prepaid yang berharga RM25/bulan menawarkan 30GB data berkelajuan tinggi pada 100Mbps. Pelan ini juga termasuk panggilan tanpa had ke semua rangkaian dan 6GB kuota hotspot.
Pelan RM39/bulan menawarkan 75GB data berkelajuan tinggi pada 100Mbps. Pelan ini juga termasuk panggilan tanpa had ke semua rangkaian dan 6GB kuota hotspot.
Apa Maksud Unlimited Data?
Unlimited data, atau data tanpa had, merujuk kepada perkhidmatan internet di mana pengguna boleh menggunakan data tanpa batasan kuantiti dalam tempoh masa tertentu, biasanya sebulan atau 30 hari.
Kebanyakan pelan “unlimited” termasuk Celcom Prepaid Edisi Biru menawarkan sejumlah besar data berkelajuan tinggi. Selepas kuota data habis, kelajuan akan dikurangkan tetapi pengguna masih boleh mengakses internet tanpa caj tambahan. Pendekatan ini membolehkan pengguna terus berhubung tanpa perlu risau tentang had penggunaan data, walaupun pengalaman browsing mungkin terjejas selepas mencapai had kelajuan tinggi.
Pelan sebegini memberi kebebasan kepada pengguna untuk menikmati aktiviti dalam talian tanpa kekangan, seperti penstriman video, permainan dalam talian, atau kerja jarak jauh, tanpa perlu sentiasa mengawasi kuota penggunaan data.
Apa Itu Celcom Prepaid eSIM?
Celcom prepaid eSIM adalah satu teknologi SIM digital yang membolehkan pengguna menggunakan perkhidmatan prabayar Celcom tanpa memerlukan kad SIM fizikal. Dengan eSIM, maklumat SIM dimuat turun terus ke dalam peranti yang menyokong teknologi ini, seperti telefon pintar tertentu, tablet, dan peranti boleh pakai.
Ciri-ciri utama Celcom Prepaid eSIM termasuk pengaktifan mudah melalui imbasan kod QR, tiada keperluan kad SIM fizikal, keupayaan multi-device yang membolehkan penggunaan nombor yang sama pada pelbagai peranti, pilihan untuk mempunyai pelbagai nombor pada satu peranti, serta tahap keselamatan yang tinggi.
Adakah Celcom Prepaid Menyediakan Perkhidmatan Roaming di Luar Negara?
Ya, Celcom Prepaid menyediakan perkhidmatan roaming untuk pelanggan yang berada di luar negara. Pengguna prabayar Celcom boleh memilih daripada 3 jenis pas roaming.
- Pas Internet Roaming 3-Hari berharga RM25 menawarkan 2GB Internet dan 30 minit panggilan. Pengguna yang melancong ke Singapura, Indonesia, dan Thailand akan menerima bonus tambahan 2GB. Pas ini sah di 20 negara Asia termasuk Australia, Bangladesh, Brunei, China, India, Jepun, dan Korea.
- Bagi mereka yang memerlukan tempoh yang lebih panjang, Pas Internet Roaming 7-Hari tersedia pada harga RM58, menyediakan Internet tanpa had dan sah di 20 negara Asia yang sama seperti pas 3-hari.
- Untuk pelancong yang memerlukan liputan lebih luas dan tempoh yang lebih panjang, Pas Internet Roaming 30-Hari ditawarkan pada harga RM98. Pas ini memberikan Internet tanpa had dan sah di 57 negara di seluruh dunia, termasuk Amerika Syarikat, United Kingdom, Jepun, Jerman, dan Perancis.
Pengguna boleh mengaktifkan pas roaming ini melalui aplikasi Celcom Life atau MyDigi sebelum berlepas atau semasa berada di luar negara. Cara alternatif untuk pengaktifan ialah dengan mendail *118# untuk pengguna Celcom atau *800# untuk pengguna Digi. Pastikan peranti anda menyokong 5G dan mempunyai akses kepada rangkaian 5G di negara yang dilawati.
Bagaimana Cara Hubungi Perkhidmatan Pelanggan Celcom?
Terdapat 6 cara untuk menghubungi perkhidmatan pelanggan (customer service) Celcom di Malaysia. iaitu melalui panggilan telefon, laman web, email, media sosial Facebook dan Twitter, kunjungan ke pusat perkhidmatan dan menggunakan aplikasi Celcom Life.
Anda boleh menghubungi Clecom melalui panggilan telefon dengan mendail 1111 dari telefon bimbit Celcom atau 019-601 1111 dari telefon bimbit atau landline. Selain itu, anda juga boleh menggunakan fungsi ‘Live Chat’ yang tersedia di laman web rasmi Celcom atau menghantar e-mel ke alamat [email protected].
Celcom juga aktif di platform media sosial seperti Facebook dan Twitter, di mana anda boleh menghubungi mereka melalui mesej di halaman rasmi mereka. Sekiranya anda lebih suka berurusan secara bersemuka, anda boleh mengunjungi pusat perkhidmatan Celcom yang berdekatan dengan lokasi anda.
Anda juga boleh mendapatkan sokongan pelanggan melalui aplikasi Celcom Life yang boleh dimuat turun dari Google Play Store atau Apple App Store.