Blacklist, atau senarai hitam, merujuk kepada senarai individu atau entiti yang dilarang atau disekat daripada mengakses perkhidmatan, kemudahan, atau kelebihan tertentu. Terdapat sepuluh jenis blacklist yang utama iaitu senarai hitam imigresen, telekomunikasi, PTPTN, CTOS, CCRIS, JPJ, MARA dan bank.
Semakan blacklist adalah proses mengesahkan sama ada seseorang individu atau entiti tersenarai dalam senarai hitam dengan memasukkan maklumat peribadi seperti nama dan nombor IC. Proses semakan blacklist untuk mengenal pasti individu yang tidak layak untuk perkhidmatan, kemudahan, atau kelebihan digunakan oleh institusi, jabatan kerajaan, bank dan pemberi pinjaman.
Blacklist (Senarai Hitam)
Apa Jenis-jenis Blacklist?
Terdapat 8 jenis senarai hitam yang utama, iaitu:
- Senarai hitam imigresen untuk individu yang dilarang memasuki atau meninggalkan negara.
- Senarai hitam syarikat telekomunikasi untuk pelanggan yang gagal membayar bil atau terlibat dalam penipuan.
- Senarai hitam PTPTN untuk peminjam yang gagal membayar balik pinjaman pelajaran.
- Senarai hitam CTOS untuk individu dengan sejarah pembayaran yang buruk atau hutang yang belum dijelaskan.
- Senarai hitam CCRIS (Central Credit Reference Information System) yang dikendalikan oleh Bank Negara Malaysia, merekodkan maklumat kredit individu dan syarikat yang diperoleh daripada institusi kewangan.
- Senarai hitam MARA untuk penerima dana yang gagal memenuhi perjanjian.
- Senarai hitam bank untuk pelanggan berisiko tinggi atau yang terlibat dalam aktiviti mencurigakan.
- Senarai hitam JPJ untuk pesalah/kenderaan yang telah dikeluarkan saman tetapi gagal menyelesaikan denda dalam tempoh yang ditetapkan.
Dalam konteks imigresen, blacklist merujuk kepada individu yang dilarang daripada memasuki atau meninggalkan negara kerana pelbagai sebab seperti kesalahan jenayah, pelanggaran peraturan imigresen, atau ancaman keselamatan. Bagi syarikat telekomunikasi (telco), blacklist mungkin termasuk pelanggan yang gagal membayar bil atau terlibat dalam aktiviti penipuan.
PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional) mengekalkan senarai hitam peminjam yang gagal membayar balik pinjaman pendidikan mereka, yang boleh menghadkan akses mereka kepada perkhidmatan tertentu. CTOS (Credit Tip-Off Service) menyediakan laporan kredit dan menyenaraihitamkan individu dengan sejarah pembayaran yang buruk atau hutang yang belum dijelaskan.
MARA (Majlis Amanah Rakyat) juga mempunyai senarai hitam untuk penerima dana yang gagal memenuhi obligasi mereka. Bank menggunakan senarai hitam untuk mengenal pasti pelanggan berisiko tinggi atau mereka yang terlibat dalam aktiviti mencurigakan seperti pengubahan wang haram.
Bagaimana Cara Semak Blacklist Imigresen?
Jabatan Imigresen Malaysia menyediakan perkhidmatan semakan status senarai hitam melalui Sistem Aplikasi Elektronik di laman web https://sspi.imi.gov.my/SSPI/. Laman web ini membolehkan warganegara Malaysia menyemak status dokumen perjalanan dan perjalanan ke luar negara. Walau bagaimanapun, untuk kemasukan ke Sabah dan Sarawak, ia tertakluk kepada undang-undang dan peraturan kerajaan negeri.
Untuk membuat semakan senarai hitam imigresen, anda perlu memasukkan nombor kad pengenalan 12 digit anda dan menekan butang “Semak”. Semakan ini hanya sah pada tarikh dan masa carian sahaja dan tidak boleh digunakan di mahkamah. Masa yang diambil untuk semakan biasanya adalah singkat, iaitu dalam lingkungan beberapa saat.
Kemudahan semakan ini dibuka untuk semua warganegara Malaysia. Namun, Jabatan Imigresen Malaysia tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kerosakan atau kerugian, sama ada sengaja atau tidak disengajakan, yang timbul daripada penggunaan maklumat yang disiarkan di laman web ini.
Jika anda disenaraihitamkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia, anda mungkin dilarang daripada meninggalkan atau memasuki negara ini. Untuk sebarang pertanyaan atau memerlukan maklumat lanjut berkenaan status senarai hitam anda, anda boleh menghubungi Jabatan Imigresen Malaysia secara langsung untuk mendapatkan penjelasan.
Apa Sebab-sebab Individu Dihalang ke Luar Negara?
Mengikut undang-undang Malaysia, rakyat Malaysia boleh dihalang daripada meneruskan perjalanan ke luar negara atas 5 sebab utama iaitu gagal membayar cukai pendapatan, belum melangsaikan hutang PTPTN tertunggak, tidak menjelaskan levi pekerja, terlibat dalam kes jenayah dan bankrap.
Individu yang mempunyai tunggakan cukai pendapatan gagal menjelaskannya boleh dihalang ke luar negara sehingga pembayaran dilakukan. Peminjam yang gagal membayar balik pinjaman PTPTN mengikut jadual yang ditetapkan juga boleh disenaraihitamkan dan dihalang daripada ke luar negara.
Majikan yang tidak menjelaskan levi pekerja asing di bawah tanggungan mereka juga boleh dikenakan sekatan perjalanan ke luar negara. Individu yang terlibat dalam kes jenayah atau mempunyai rekod jenayah juga boleh dihalang atas arahan mahkamah atau pihak berkuasa. Status kebankrapan juga boleh menjadi sebab seseorang dikenakan sekatan perjalanan sehingga status tersebut dilepaskan oleh mahkamah.
Warganegara Malaysia yang menetap di luar negara melebihi tempoh yang dibenarkan tanpa kebenaran atau visa yang sah juga boleh disenaraihitamkan dan dihalang daripada ke luar negara pada masa akan datang.
Bagaimana Cara Menyemak Status Senarai Hitam Melalui Nombor MyKad dalam Laporan CTOS?
CTOS, atau dikenali sebagai Credit Tip-Off Service, merupakan sebuah agensi yang merekodkan status kredit individu. Pemberi pinjaman akan merekodkan aktiviti pembayaran peminjam di CTOS, dan maklumat ini akan menunjukkan disiplin peminjam dalam membayar pinjaman. Sebarang tunggakan akan dilaporkan di CTOS, dan maklumat ini boleh diakses oleh agensi pemberi pinjaman yang lain.
Berikut adalah cara yang telah disahkan untuk menyemak status senarai hitam melalui nombor MyKad dalam laporan CTOS:
- Layari laman web rasmi CTOS di www.ctoscredit.com.my.
- Klik pada pautan “MyCTOS” di bahagian atas laman web untuk membuat akaun CTOS. Anda perlu mengisi maklumat peribadi seperti nama penuh, nombor MyKad, alamat e-mel, dan nombor telefon. Selepas itu, sahkan akaun anda melalui pautan yang dihantar ke e-mel yang anda daftarkan.
- Selepas pengesahan, log masuk ke akaun MyCTOS anda menggunakan ID pengguna dan kata laluan yang telah anda daftarkan.
- Pilih laporan yang anda ingin semak, seperti “CTOS Self Check” atau “CTOS Score”. Laporan ini akan memberikan anda gambaran menyeluruh tentang status kredit anda.
- Dalam proses ini, anda perlu memasukkan nombor MyKad anda untuk pengesahan identiti bagi mendapatkan laporan kredit anda.
- Tunggu beberapa minit untuk CTOS menjana laporan kredit anda. Laporan tersebut akan memaparkan sebarang maklumat berkaitan status senarai hitam anda, termasuk nama institusi yang menyenaraihitamkan anda, jumlah yang terhutang, dan tempoh masa senarai hitam tersebut.
- Sekiranya anda mendapati diri anda disenaraihitamkan, anda boleh menggunakan maklumat dalam laporan CTOS tersebut untuk menghubungi institusi kewangan berkenaan dan mengambil langkah-langkah yang perlu untuk menyelesaikan isu tersebut dan membersihkan nama anda daripada senarai hitam.
CTOS menyediakan maklumat berdasarkan data yang dikemas kini oleh institusi kewangan dan syarikat utiliti. Untuk maklumat yang lebih lengkap, anda mungkin perlu juga menyemak rekod di CCRIS (Central Credit Reference Information System) yang dikendalikan oleh Bank Negara Malaysia.
Jika skor kredit anda tidak memuaskan, anda akan disenaraihitamkan, dan permohonan pinjaman anda mungkin sukar untuk diluluskan. Anda boleh mendaftar menggunakan IC, MyKad, atau Kad Pengenalan untuk mengesahkan identiti diri anda dan menyemak status senarai hitam secara dalam talian.
Bagaimana Cara Buat Semakan Status Senarai Hitam Menggunakan IC Melalui Laporan CCRIS?
CCRIS, atau Central Credit Reference Information, juga merupakan agensi yang merekodkan laporan kredit individu. Berbeza dengan CTOS, CCRIS dikendalikan oleh Biro Kredit Bank Negara Malaysia di bawah Akta Bank Negara Malaysia 1958, manakala CTOS dikendalikan oleh syarikat swasta yang berdaftar.
Untuk membuat semakan status senarai hitam menggunakan nombor IC melalui laporan CCRIS (Central Credit Reference Information System), berikut adalah langkah-langkah yang perlu diikuti:
- Layari laman web eCCRIS di https://eccris.bnm.gov.my. eCCRIS ialah platform yang disediakan oleh Bank Negara Malaysia untuk memudahkan pengguna mengakses laporan kredit mereka secara dalam talian.
- Jika ini kali pertama anda menggunakan eCCRIS, anda perlu mendaftar sebagai pengguna baharu. Untuk pendaftaran, anda perlu mengunjungi mana-mana cawangan Bank Negara Malaysia (BNM) atau pejabat Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) yang terdekat untuk mengesahkan identiti anda. Anda perlu membawa MyKad dan maklumat peribadi untuk tujuan ini. Setelah identiti disahkan, anda akan menerima ID pengguna dan kata laluan sementara melalui e-mel. Kata laluan ini perlu ditukar semasa log masuk pertama kali.
- Selepas pendaftaran, log masuk ke akaun eCCRIS anda menggunakan ID pengguna dan kata laluan yang telah diberikan.
- Setelah log masuk, anda boleh memilih untuk memuat turun laporan kredit CCRIS anda. Laporan ini akan menunjukkan maklumat lengkap tentang rekod kredit anda, termasuk jika terdapat sebarang rekod pembayaran tertunggak atau senarai hitam dari institusi kewangan.
- Dalam laporan CCRIS, periksa bahagian berkaitan untuk melihat jika terdapat sebarang akaun kredit yang tertunggak atau dalam status pengingkaran. Maklumat ini akan menunjukkan institusi kewangan yang telah melaporkan anda, jumlah yang tertunggak, dan tempoh masa tertunggak.
- Sekiranya anda mendapati diri anda disenarai hitam atau terdapat rekod pembayaran tertunggak, anda boleh menghubungi institusi kewangan yang berkaitan untuk menyelesaikan hutang tersebut dan membersihkan rekod kredit anda.
Maklumat kredit peminjam dikumpulkan oleh Biro Kredit Bank Negara Malaysia daripada institusi kewangan dan laporan kredit dijana melalui sistem CCRIS. Laporan CCRIS tidak menyenaraikan nama-nama peminjam individu kepada pihak ketiga, ia hanya digunakan oleh institusi kewangan untuk menilai risiko kredit peminjam. Semakan melalui CCRIS tidak dikenakan sebarang bayaran dan boleh dilakukan secara percuma melalui eCCRIS.
Bolehkah Buat Semakan Status Senarai Hitam Melalui Kad Pengenalan di Kiosk Bank Negara Malaysia (BNM)?
Ya, anda boleh menyemak status blacklist melalui kios Bank Negara Malaysia (BNM). Bagi anda yang ingin mendapatkan laporan secara fizikal di Bank Negara Malaysia (BNM), anda boleh pergi ke kaunter atau kiosk di BNM untuk mendapatkan laporan CCRIS. Berikut adalah langkah-langkah ringkas untuk membuat semakan status blacklist di kiosk BNM:
- Pergi ke mesin kiosk yang berdekatan.
- Pilih bahasa yang anda ingin gunakan, sama ada Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris.
- Kemudian, pilih paparan butang “Cetak Laporan”.
- Masukkan IC / Kad Pengenalan / MyKad anda pada slot yang disediakan.
- Seterusnya, tempat untuk mengimbas ibu jari (thumbprint) yang terletak di bawah slot masukkan MyKad akan menyala.
- Imbas ibu jari anda.
- Proses semakan mungkin akan mengambil masa selama seminit sebelum ianya dicetak.
- Kemudian, apabila anda mendapat arahan di skrin, keluarkan MyKad anda.
- Tunggu sehingga laporan CCRIS anda dicetak.
- Setelah dicetak, ambil laporan CCRIS anda pada slot “Laporan Kredit”.
- Selesai.
Macam Mana Nak Check Senarai Hitam Telco?
Untuk menyemak status senarai hitam dengan syarikat telekomunikasi (telco) di Malaysia, terdapat 4 cara yang boleh diambil iaitu melalui CTOS, semakan melalui syarikat telco, semakan dengan AKPK dan semakan melalui MCMC.
- Untuk membuat semakan melalui sistem CTOS, llayari laman web rasmi CTOS di www.ctoscredit.com.my, daftar akaun MyCTOS jika anda belum mempunyai akaun, pilih laporan kredit CTOS yang merangkumi maklumat tentang akaun telekomunikasi anda, dan semak laporan tersebut untuk melihat jika ada sebarang akaun telco yang tertunggak dan disenaraikan.
- Untuk membuat semakan terus melalui syarikat telco, hubungi khidmat pelanggan syarikat telco anda untuk menyemak status akaun anda. Nombor khidmat pelanggan untuk syarikat telco utama di Malaysia termasuk 123 dari telefon Maxis atau 1-800-82-1123 untuk Maxis, 1111 dari telefon Celcom atau 1-300-111-000 untuk Celcom, 016-2211 800 untuk Digi, dan 1318 dari telefon U Mobile atau 018-388 1318 untuk U Mobile. Selain itu, anda juga boleh mengunjungi cawangan syarikat telco anda untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai status akaun anda.
- Sekiranya anda mempunyai masalah hutang dengan syarikat telco yang menyebabkan anda disenaraihitamkan, anda boleh mendapatkan bantuan daripada Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK). AKPK mungkin dapat membantu anda dalam pengurusan kewangan dan menyelesaikan masalah hutang anda dengan syarikat telco.
- Jika anda merasakan bahawa anda disenarai hitam tanpa sebab yang munasabah, anda juga boleh membuat aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC). MCMC mungkin dapat membantu anda menyelesaikan masalah ini dengan syarikat telco yang terlibat.
Sebelum mengambil sebarang tindakan, pastikan bahawa maklumat dalam laporan tersebut adalah tepat. Sekiranya terdapat kesilapan, hubungi syarikat telco yang berkaitan untuk membetulkan maklumat tersebut. Memastikan akaun telco anda dalam keadaan baik adalah penting untuk mengelakkan masalah seperti penyekatan perkhidmatan atau kesukaran mendapatkan perkhidmatan baru.
Apa Tanda-tanda Kena Blacklist Telco?
Salah satu petunjuk utama yang menunjukkan anda mungkin telah disenaraihitamkan oleh syarikat telekomunikasi (telco) dalah adalah kegagalan untuk mendaftar pelan pascabayar (postpaid) yang baharu dengan mana-mana syarikat telco. Apabila anda cuba mendaftar pelan pascabayar baharu, syarikat telco akan membuat semakan terlebih dahulu. Sekiranya anda telah disenaraihitamkan, pendaftaran anda akan ditolak.
Selain itu, anda juga boleh menyemak status senarai hitam anda dengan menggunakan perkhidmatan Mobile Number Portability (MNP). MNP membolehkan pelanggan menukar rangkaian atau pelan telco sedia ada kepada yang lain sambil mengekalkan nombor telefon yang sama. Jika anda tidak dapat menggunakan sistem MNP untuk menukar syarikat telco, ini mungkin menandakan bahawa anda telah disenaraihitamkan oleh syarikat telco sebelumnya.
Anda juga boleh menyemak status senarai hitam anda secara dalam talian melalui laman web rasmi syarikat telco pascabayar anda. Setiap syarikat telco mempunyai proses semakan yang berbeza. Sebagai contoh, untuk membuat semakan melalui laman web U Mobile, ikuti langkah-langkah berikut:
- Layari laman web U Mobile di https://www.store.u.com.my.
- Pada laman utama U Mobile Online Store, klik butang “CHECKOUT”.
- Anda akan dibawa ke ruangan “New Plan Validation”.
- Isikan maklumat yang diminta dengan lengkap, seperti nombor pengenalan dan tarikh lahir.
- Klik “Verify”. Sekiranya anda telah disenaraihitamkan, anda tidak akan dapat meneruskan proses pendaftaran.
Sekiranya anda telah disenaraihitamkan, anda akan menerima notis pemberitahuan seperti “Sorry, you are unable to make any purchases now as you have been blacklisted by service provider(s) below”.
Macam Mana Nak Check Senarai Hitam JPJ?
Senarai hitam JPJ merangkumi pesalah/kenderaan yang telah dikeluarkan saman tetapi gagal menyelesaikan denda dalam tempoh yang ditetapkan oleh pihak berkuasa. Terdapat beberapa cara untuk membuat semakan status senarai hitam JPJ iaitu melalui laman web rasmi JPJ dan semakan di kaunter.
Untuk membuat semakan blacklist JPJ secara online, layari laman web rasmi JPJ di www.jpj.gov.my, pergi ke bahagian perkhidmatan dalam talian, dan pilih “Semakan Status Senarai Hitam.” Masukkan nombor kad pengenalan atau nombor pendaftaran kenderaan untuk menyemak status senarai hitam. Portal akan memaparkan status semasa anda jika terdapat sebarang sekatan atau senarai hitam oleh JPJ. Untuk pautan terus, layari laman web ini: https://www.jpj.gov.my/web/main-site/semakan-status-senarai-hitam
Untuk membuat semakan secara terus di kaunter JPJ, kunjungi pejabat JPJ yang terdekat dan pastikan anda membawa MyKad atau dokumen pengenalan diri serta dokumen berkaitan seperti geran kenderaan jika diperlukan. Minta pegawai JPJ untuk menyemak status senarai hitam anda.
Bagaimana Cara Bersihkan Nama Daripada CTOS?
Untuk menguruskan kewangan anda dengan bijak, anda boleh membersihkan rekod CTOS anda secara berperingkat. Rekod CTOS yang bersih dan skor kredit yang baik akan memudahkan anda mendapatkan kelulusan untuk pinjaman atau kemudahan kewangan pada masa hadapan. Berikut ialah langkah-langkah untuk clear nama daripada CTOS:
Selesaikan Hutang Tertunggak
Cara paling asas untuk membersihkan nama dari CTOS adalah dengan menyelesaikan segala hutang tertunggak. Ini termasuklah hutang kad kredit, pinjaman peribadi, atau sebarang bil yang tidak dibayar.
Pastikan anda mendapatkan surat penyelesaian dari pihak pemberi hutang sebagai bukti pembayaran. Surat ini akan menjadi dokumen penting apabila anda ingin memohon untuk membersihkan nama anda dari senarai hitam CTOS.
Penjadualan Semula Pembayaran
Sekiranya anda menghadapi kesukaran untuk membuat bayaran balik sepenuhnya, anda boleh berbincang dengan pihak bank atau pemberi pinjaman untuk menjadualkan semula pembayaran. Proses ini melibatkan perundingan untuk mengubah suai terma pembayaran, seperti tempoh pembayaran yang lebih panjang atau jumlah ansuran yang lebih rendah.
Penjadualan semula pembayaran dapat membantu mengurangkan beban kewangan anda dan secara tidak langsung membersihkan rekod CTOS anda. Walau bagaimanapun, pastikan anda mampu mematuhi jadual pembayaran yang baharu untuk mengelakkan masalah pada masa hadapan.
Mohon Pinjaman untuk ‘Overlap’ Hutang
Bagi mereka yang mempunyai hutang yang besar dan tidak dapat menyelesaikannya sekaligus, satu pilihan adalah dengan memohon pinjaman peribadi atau pinjaman koperasi untuk ‘overlap’ atau menampung hutang tersebut.
Dengan pinjaman peribadi overlap yang baharu ini, anda boleh menyelesaikan hutang yang tertunggak dan seterusnya membersihkan nama anda daripada senarai hitam CTOS. Walau bagaimanapun, pinjaman baharu ini perlu diuruskan dengan baik untuk mengelakkan anda daripada terperangkap dalam kitaran hutang yang berterusan.
Betulkan Kesilapan dalam Laporan Kredit
Kadangkala, laporan CTOS anda mungkin mengandungi kesilapan, seperti maklumat yang tidak tepat atau hutang yang sudah diselesaikan tetapi masih dilaporkan sebagai tertunggak. Dalam situasi ini, anda boleh menghubungi CTOS secara terus untuk memperbetulkan kesilapan tersebut.
Anda perlu menyediakan dokumen sokongan, seperti salinan kad pengenalan (MyKad) dan surat penyelesaian hutang dari bank atau pemberi pinjaman, untuk membuktikan bahawa maklumat dalam laporan CTOS anda adalah tidak tepat dan perlu diperbetulkan.
Dapatkan Bantuan Kaunseling Kewangan
Sekiranya anda menghadapi masalah dalam menguruskan hutang anda, mendapatkan bantuan daripada Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) adalah satu langkah yang bijak. AKPK menyediakan perkhidmatan kaunseling kewangan secara percuma kepada individu yang memerlukan bantuan dalam menguruskan hutang mereka.
Walaupun berurusan dengan AKPK mungkin memberi kesan sementara kepada skor kredit anda, ia adalah alternatif yang lebih baik berbanding terbeban dengan komitmen hutang yang tinggi dan tidak terkawal.