Pelaburan hartanah merupakan salah pelaburan yang amat berbaloi dan akan memberikan anda pulangan yang berganda dalam jangka masa panjang. Salah satu pelaburan hartanah yang anda boleh lakukan adalah membeli kediaman atau rumah. Walau bagaimanapun, ia adalah satu komitmen yang sangat-sangat besar. Jadi, macam mana cara pengiraan pinjaman perumahan dari bank supaya kita boleh nampak samada terbeban atau tidak? Layak atau tidak untuk meminjam dari bank-bank seperti Bank Islam, Bank Rakyat, Maybank, BSN, CIMB, Public Bank dan lain-lain? Adakah perlu jimat duit bulan-bulan hanya untuk merealisasikan impian ini?
Izinkan kami berkongsi.
Kira pinjaman perumahan, untuk tahu komitmen; dan tahu layak atau tidak
Setiap manusia sudah tentu mempunyai keinginan untuk memiliki kediaman idaman tersendiri. Buat rakyat marhaen, anda pastinya akan membuat pinjaman perumahan daripada bank untuk membeli rumah. Tapi, adakah pinjaman anda akan lulus?
Kalau nak tahu, terdapat cara pengiraan pinjaman perumahan dari bank yang boleh anda membuat kiraan sendiri di rumah untuk menentukan sama ada anda layak atau tidak.
Jadi, anda tidak perlu beratur panjang hanya untuk membuat kiraan di bank sahaja dan lebih malang lagi jika permohonan anda ditolak.
Sebelum itu, selain cari ilmu tentang pengiraan pinjaman perumahan, jemput juga baca tips membeli rumah pertama.
Selamat mencuba!
Debt Service Ratio dalam pengiraan pinjaman perumahan
Sebelum anda membuat pengiraan pinjaman perumahan, anda perlu tahu apa itu Debt Service Ratio atau DSR. DSR adalah kiraan yang digunakan oleh pihak bank untuk melihat kemampuan anda berdasarkan pendapatan, digunakan untuk membayar pinjaman.
Dalam bahasa mudah, jika bank itu bagi pinjam, anda mampu atau tidak untuk membayar. Untuk pengetahuan anda, bank mempunyai had DSR yang berlainan untuk setiap peminjam bergantung kepada profil kewangan masing-masing.
Untuk pengetahuan anda, DSR adalah elemen penting untuk menentukan adakah anda layak atau tidak untuk membuat pinjaman perumahan dari bank.
Had maksimum Debt Service Ratio
Pasti anda tertanya-tanya, berapa had maksimum DSR saya? Kalau nak tahu, setiap peminjam mempunyai profil kewangan yang berbeza.
Oleh sebab itu, bank menetapkan had DSR maksimum bergantung kepada profil kewangan individu tersebut.
Secara umumnya, individu berpendapatan bersih di bawah RM3000, had DSR bank ialah 60%. Manakala, untuk individu berpendapatan bersih melebihi RM3000, had DSR bank 70%.
Cara mengira Debt Service Ratio dalam pinjaman perumahan
Untuk mengira berapakah had DSR anda, boleh cuba aplikasikan formula ini:
DSR = (Komitmen bulanan semasa + installment rumah baru) / pendapatan bersih
Pasti ada yang tertanya-tanya, apakah ini? Jangan risau, kita akan berkenalan dengan satu per satu komponen penting dalam DSR. Jom kita berkenalan!
#1 Komitmen bulanan semasa
Pertama, Komitmen bulanan semasa merujuk kepada bayaran hutang bulanan yang sedia ada seperti pinjaman kereta, pinjaman peribadi, PTPTN, pinjaman ASB, kad kredit dan lain-lain.
Senaraikan semua komitmen bulanan, setelah itu jumlahkan keseluruhan komitmen anda dan masukkan jumlah ke dalam formula.
#2 Installment rumah baru
Kedua, Installment rumah baru pula merujuk kepada jumlah bayaran ansuran yang perlu anda bayar kepada bank pada setiap bulan untuk memiliki rumah baru.
Untuk installment ini, anda boleh membuat kiraan menggunakan kalkulator pinjaman perumahan yang ada di internet. Kalau nak tahu, pihak kerajaan juga telah menyediakan kalkulator kelayakan pembiayaan perumahan di Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA).
#2 Pendapatan bersih
Ketiga, pendapatan bersih pula merujuk kepada gaji pokok anda setelah tolak EPF, SOCSO, zakat dan potongan cukai.
Untuk pengetahuan anda, pendapatan dari dividen tabung haji atau saham juga boleh dimasukkan ke dalam pendapatan bersih. Biasanya dividen dari instrumen ini anda kena puratakan untuk 12 bulan.
Contoh cara buat pengiraan pinjaman perumahan
Bagi memudahkan lagi perbincangan ini, anda boleh membaca contoh dibawah ini.
Abu ingin membeli sebuah rumah flat berharga RM170,000 dan installment untuk rumah ini adalah sebanyak RM800.
Pendapatan bersih bulanannya pula adalah sebanyak RM4000.
Untuk komitmen bulanan pula, Abu perlu membayar pinjaman kereta sebanyak RM300, PTPTN sebanyak RM200, pinjaman ASB sebanyak RM200 dan sewa rumah sebanyak RM500. Jadi Jumlah keseluruhan komitmen bulanan semasa adalah RM1500.
Berdasarkan contoh di atas, berapakah DSR Abu dan bolehkah dia membeli rumah tersebut? Untuk membuat kiraan, anda boleh mengaplikasikan formula di atas:
DSR = (Komitmen bulanan semasa + installment rumah baru) / pendapatan bersih
= (RM1200 + RM800) / RM4000
= 50%
Setelah membuat kiraan, DSR Abu adalah sebanyak 50% adalah lebih rendah daripada had DSR bank sebanyak 60%. Jadi, permohonan Abu untuk membuat pinjaman akan diterima.
Akhir kata
Jadi pengiraan pinjaman perumahan ini mudah, kan? Anda boleh melakukannya sendiri tanpa perlu beratur panjang di bank.
Dan yang penting, kalau anda pergi berjumpa dengan pegawai bank, mereka lebih suka nak berurusan dengan kita kerana mudah untuk mereka melakukan tugas mereka. Jadi, tunggu apa lagi.
Jemput juga baca cara kira pinjaman kereta bagi yang berhajat untuk membeli kereta baru atau second hand.
Semoga bermanfaat.