Kini, ibu bapa yang ingin mendaftarkan anak mereka ke TABIKA KEMAS untuk sesi 2022, boleh dilakukan di enrol.kemas.gov.my. Pendaftaran ini dibuka bermula 1 Jun hingga 31 Oktober 2021.
Walaubagaimanapun, hanya beberapa TABIKA KEMAS sahaja yang boleh dimohon secara online kerana laman web ini masih baru beroperasi.
Izinkan kami berkongsi cara pendaftaran TABIKA KEMAS sesi 2022. Sebelum itu, jom lihat syarat pendaftaran TABIKA KEMAS.
1. Syarat pendaftaran TABIKA KEMAS Online
Berikut ialah syarat yang perlu dipenuhi oleh ibu bapa sebelum membuat permohonan:
- Permohonan boleh dilakukan oleh ibu/bapa/penjaga kanak-kanak.
- Ibu/bapa/penjaga kanak-kanak haruslah mendaftar sebagai pengguna berdaftar di enrol.kemas.gov.my atau https://www.malaysia.gov.my/ terlebih dahulu
- Permohonan hanya boleh dilakukan sekali sahaja.
- Salah seorang daripada ibu/bapa/penjaga harus berstatus WARGANEGARA.
- Permohonan harus DICETAK dan DIHANTAR ke TABIKA KEMAS pilihan bersama dokumen sokongan. Borang permohonan TIDAK AKAN DIPROSES sekiranya dokumen ini tidak dihantar ke TABIKA KEMAS.
- Profil kanak-kanak harus didaftarkan di PROFIL KELUARGA di MyDashboard Pengguna Portal MyGovernment (www.malaysia.gov.my/portalprotected/familyprofile) sebelum permohonan online TABIKA KEMAS dilakukan.
2. Berapa umur anak boleh mendaftar masuk KEMAS?
Kanak-kanak harus berumur 3-5 tahun semasa tahun pendaftaran dan berstatus WARGANEGARA.
3. Adakah pembayaran harus dibuat semasa mendaftar?
Tiada pembayaran yang harus dibuat semasa menghantar pendaftaran. Jika kanak-kanak diterima, yuran pendaftaran adalah sebanyak RM150-RM200 dan yuran bulanan/sumbangan TABIKA KEMAS bergantung kepada cawangan.
4. Apa beza TADIKA dan TABIKA?
a) TADIKA ialah Taman Didikan Kanak-kanak.
Tadika boleh ditakrifkan sebagai mana-mana premis yang menerima masuk lebih dari 4 orang kanak-kanak berumur 5 hingga 6 tahun untuk tujuan menerima pendidikan dengan upah.
Pendidikan di peringkat tadika merupakan persediaan untuk kanak-kanak sebelum melangkah ke pembelajaran formal di sekolah rendah.
Kerajaan amat menggalakkan penubuhan tadika oleh pihak swasta. Namun ianya perlulah didaftarkan di bawah Unit Pendidikan Swasta, Jabatan Pendidikan Negeri. Tadika swasta yang berdaftar perlu mengikut Kurikulum Prasekolah Kebangsaan (KSPK) yang disediakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.
b) TABIKA ialah Taman Bimbingan Kanak-kanak.
Tabika merupakan program pendidikan awal kanak-kanak yang diselia oleh KEMAS (Jabatan Kemajuan Masyarakat) di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah.
Walaupun begitu kurikulum yang digunapakai oleh Tabika adalah Kurikulum Bersepadu Prasekolah Kebangsaan (KSPK) dari Kementerian Pendidikan Malaysia.
Program Tabika ditawarkan untuk kanak-kanak berusia 4 hingga 6 tahun.
5. Cara pendaftaran TABIKA KEMAS online sesi 2022
Sebelum membuat pendaftaran TABIKA KEMAS online, ibu/bapa/penjaga perlu:
- Mendaftarkan profil kanak-kanak di PROFIL KELUARGA di MyDashboard Pengguna Portal MyGovernment (https://www.malaysia.gov.my/portal/index)
- DAFTAR sebagai pengguna di enrol.kemas.gov.my
a) Cara mendaftar sebagai pengguna di portal enrol.kemas.gov.my
- Layari Aplikasi Pendaftaran TABIKA KEMAS di enrol.kemas.gov.my/
- Tekan butang Daftar
- Isi kesemua maklumat yang diperlukan.
- Tekan butang Hantar.
- Semak Peti Masuk (Inbox) pada e-mel yang didaftarkan. Pengguna akan menerima makluman pendaftaran yang akan dihantar ke e-mel yang didaftarkan.
- Pemohon perlu klik pada pautan yang diberi sebagai pengesahan pendaftaran.
- Pemohon perlu mencipta kata laluan, mengesahkan kata laluan dan teks pengesahan (CAPTCHA) bagi proses pengaktifan akaun pengguna.
- Pilih Kaedah ‘Kata Laluan’ untuk pengesahan.
- Log masuk dengan menaip ID Pengguna atau Nombor Kad Pengenalan/Nombor Pasport atau E-mel pengguna.
- Setelah berjaya log masuk, pengguna boleh membuat semakan/mengemaskini profil pengguna di Aplikasi Pendaftaran TABIKA KEMAS.
Nota:
- Pastikan nama yang didaftarkan adalah sama seperti yang tertera di dalam kad pengenalan (contoh: BIN, BINTI, BTE, A/L, A/P, noktah, jarak ejaan, special character ( -, ‘ , @ ) dan lain-lain lagi).
- Maklumat akan melalui semakan MyIdentity JPN bagi memastikan Nama serta No kad pengenalan yang dimasukkan adalah sama seperti yang terdapat di pangkalan data Jabatan Pendaftaran Negara (JPN)
Setelah selesai membuat pendaftaran sebagai pengguna, anda boleh membuat permohonan pendaftaran TABIKA KEMAS.
b) Cara permohonan pendaftaran TABIKA KEMAS
Berikut adalah cara-caranya:
- Sila layari Aplikasi Pendaftaran TABIKA KEMAS melalui URL https://enrol.kemas.gov.my/
- Klik Log Masuk. Pilih Kata Laluan dan masukkan ID Pengguna atau Nombor Kad Pengenalan/Nombor Pasport atau E-mel pengguna dan masukkan Kata Laluan anda.
- Klik BORANG PERMOHONAN.
- Pilih No. MyKid kanak-kanak melalui senarai dropdown untuk membuat permohonan. Sekiranya tiada senarai No. MyKid untuk dipilih, sila kemas kini Profil Keluarga di MyDashboard Pengguna.
- Maklumat di Profil Pengguna merupakan maklumat yang diekstrak daripada pangkalan data Portal MyGovernment sewaktu pengguna pertama kali berjaya log masuk ke Aplikasi Pendaftaran TABIKA KEMAS.
Maklumat yang diekstrak ialah:- Nama;
- No Kad Pengenalan;
- Alamat E-mel; dan
- No Telefon.
- Pemohon perlu memasukkan maklumat anak yang ingin dipohon ke dalam Senarai Profil Keluarga ini.
- Senarai No. Mykid kanak-kanak hanya akan dipaparkan pada Borang Permohonan sekiranya terdapat maklumat kanak-kanak yang berumur 3 hingga 5 tahun pada tahun semasa di Profil keluarga Portal MyGovernment.
- Isikan juga Maklumat Kesihatan, Maklumat Keluarga, Maklumat Tanggungan, Pemilihan Tabika dalam ruang yang disediakan.
- Klik Simpan untuk menyimpan maklumat.
- Setelah selesai, anda perlu membuat pengesahan dan menerima notis permohonan berjaya.
- Sila cetak Borang Permohonan.
6. Dokumen yang diperlukan selepas isi borang di enrol.kemas.gov.my
Anda perlu menghantar dokumen pendaftaran yang diperlukan ke sekolah TABIKA KEMAS yang telah dipilih. Sila hantar DUA MINGGU selepas anda membuat permohonan online.
Berikut ialah dokumen yang diperlukan:
- Borang Permohonan Online yang telah dicetak
- Borang Pengesahan Majikan / Slip gaji ibu dan bapa/penjaga
- Dua (2) keping gambar kanak-kanak berukuran passport.
- 1 Salinan MYKID Kanak-kanak.
- 1 Salinan Sijil Kelahiran Kanak-kanak.
- 1 Salinan kad pengenalan ibu dan bapa/penjaga.
- 1 Salinan kad OKU (jika berkenaan)
- Rekod kesihatan kanak-kanak. (Bagi kanak-kanak yang ada masalah kesihatan)
Untuk maklumat lanjut, sila layari https://www.kemas.gov.my/
Akhir Kata
Semoga urusan mendaftarkan anak anda dipermudahkan. Sila jaga SOP semasa penghantaran dokumen dilakukan.
Bagi anda yang sukakan kanak-kanak dan ingin menjadi guru TABIKA KEMAS, anda boleh lihat di sini untuk langkah-langkahnya.
3 Comments
Macam mana nak hantar borang permohonan pada waktu pkp ye. Sebab kemas kan tutup sekarang.
Mcm mana nak buat rayuan,anak umur 6thn (2022),tidak dapat masuk tabika
Macam mna nak daftar online kemasukan tabika nii…sebab tak boleh masuk dalm link enrol.kemas tu..paya laa…alahaii