Perbezaan pinjaman konvensional dan pembiayaan Islamik yang paling ketara ialah berkenaan faedah (riba), di mana bank meminjamkan wang dan mendapat keuntungan melalui faedah yang dikenakan, dengan kadar yang boleh berubah mengikut keadaan pasaran dan OPR. Pembiayaan Islamik beroperasi menggunakan prinsip jual beli yang dibenarkan syariah, di mana bank akan membeli aset terlebih dahulu dan menjualnya kepada pelanggan dengan margin keuntungan yang telah ditetapkan dari awal.
Dari segi pengendalian, pinjaman konvensional mengenakan penalti pembayaran lewat sebagai pendapatan bank dan mungkin mengenakan faedah berkompaun, manakala pembiayaan Islamik lebih fleksibel dengan caj lewat yang disalurkan ke dana kebajikan dan memberi kelonggaran kepada pelanggan yang bermasalah. Untuk penyelesaian awal, pinjaman konvensional mungkin mengenakan penalti, sementara pembiayaan Islamik sering menawarkan rebat (ibra’). Pinjaman konvensional juga memindahkan kebanyakan risiko kepada peminjam, manakala pembiayaan Islamik menggalakkan perkongsian risiko yang lebih adil antara bank dan pelanggan.
Beza Pinjaman Konvensional dan Islamik
Apa Itu Pinjaman Konvensional?
Pinjaman konvensional adalah kaedah pembiayaan tradisional yang beroperasi berasaskan faedah atau riba. Dalam sistem ini, peminjam perlu membayar balik jumlah pokok bersama dengan faedah yang dikenakan pada kadar tetap atau terapung. Kaedah ini biasanya digunakan oleh bank-bank konvensional dan institusi kewangan tradisional.
Bank konvensional bertindak sebagai pemberi pinjaman yang mengaut keuntungan melalui faedah yang dikenakan ke atas jumlah yang dipinjamkan. Kadar faedah ini boleh berubah bergantung pada kadar pinjaman asas (Base Lending Rate) dan Overnight Policy Rate (OPR), menjadikan jumlah bayaran balik tidak tetap.
Apa Itu Pembiayaan Islamik?
Pembiayaan Islam beroperasi mengikut prinsip Shariah yang melarang penggunaan riba. Ia menggunakan kontrak khusus seperti Tawarruq, Bai’al-Inah, atau Murabahah yang melibatkan transaksi jual beli. Bank Islam akan membeli aset terlebih dahulu sebelum menjualnya kepada pelanggan dengan margin keuntungan yang dipersetujui.
Kadar keuntungan dalam pembiayaan Islam ditetapkan dari awal dan jumlah bayaran balik kekal sepanjang tempoh pembiayaan, memberikan kepastian kepada pelanggan. Seperti yang ditegaskan dalam Al-Quran, “Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba”.
Apa Contoh Perbezaan Pinjaman Konvensional dan Islamik?
Jumlah bayaran akhir pinjaman konvensional dan Islamik kelihatan sama. Walau bagaimanapun, cara pengiraannya berbeza. Berikut ialah contoh praktikal yang menunjukkan perbezaan antara kedua sistem konvensional dan Islamik. Untuk pembelian kenderaan bernilai RM100,000:
- Bank konvensional akan meminjamkan wang dengan faedah 3%, menjadikan jumlah bayaran balik RM103,000.
- Bank Islam pula akan membeli kenderaan tersebut pada RM100,000 dan menjualnya kepada pelanggan pada harga RM103,000 dengan keuntungan 3%.
Walaupun jumlah bayaran akhir kelihatan sama, perbezaan utama pinjaman dan pembiayaan terletak pada struktur transaksi. Bank konvensional menggunakan kontrak pinjaman dengan faedah (riba), manakala bank Islam menggunakan kontrak jual beli yang dibenarkan syarak.
Apa Beza Dari Aspek Penstrukturan dan Kontrak?
Kontrak pinjaman konvensional adalah perjanjian hutang langsung antara pemberi pinjaman dan peminjam. Ia tertumpu kepada pertukaran wang dengan lebihan (faedah) yang dianggap sebagai riba dalam Islam.
Pembiayaan Islam pula menggunakan pelbagai kontrak seperti:
- Murabahah (jual-beli dengan margin keuntungan)
- Ijarah (sewaan)
- Musharakah (perkongsian)
- Tawarruq (jualan komoditi)
Beza Risiko dan Tanggungjawab
Dalam pinjaman konvensional, risiko kebanyakannya ditanggung oleh peminjam. Peminjam bertanggungjawab untuk membayar balik pinjaman dengan faedah tanpa mengira prestasi aset atau projek yang dibiayai.
Pembiayaan Islam menggalakkan perkongsian risiko yang lebih adil. Bank Islam turut menanggung sebahagian risiko dalam transaksi, terutamanya dalam kontrak perkongsian seperti Musharakah dan Mudharabah.
Perbezaan Kos Pengendalian Pembayaran Lewat
Dalam sistem konvensional, penalti untuk pembayaran lewat biasanya dikenakan sebagai pendapatan tambahan bank. Kadar faedah penalti ini boleh dikompaun, menyebabkan jumlah hutang meningkat secara berterusan.
Sistem Islam mengamalkan pendekatan lebih fleksibel dan berperikemanusiaan. Walaupun caj lewat bayar dikenakan, ia dikira sebagai pendapatan kebajikan dan tidak boleh dijadikan pendapatan bank. Bank Islam juga biasanya memberi tempoh lebih panjang kepada pelanggan yang menghadapi masalah pembayaran.
Perbezaan Implikasi Kos dan Kadar Faedah
Kos efektif pinjaman konvensional bergantung kepada kadar faedah yang dikenakan. Kadar ini boleh berubah mengikut keadaan pasaran, terutamanya bagi pinjaman kadar terapung yang dipengaruhi oleh OPR.
Dalam pembiayaan Islam, kos pembiayaan biasanya ditetapkan dari awal melalui margin keuntungan yang dipersetujui. Ini memberikan kepastian kepada pelanggan tentang jumlah pembayaran yang perlu dibuat sepanjang tempoh pembiayaan.
Beza Dari Segi Aspek Keselamatan dan Cagaran
Kedua-dua sistem memerlukan cagaran sebagai jaminan pembayaran balik. Walau bagaimanapun, prosedur pengurusan hutang dan penyitaan aset dalam sistem Islam perlu mematuhi prinsip Shariah.
Bank Islam biasanya lebih fleksibel dalam menangani kes kegagalan pembayaran, memberikan tempoh yang lebih panjang dan pilihan penstrukturan semula yang lebih mesra pelanggan.
Adakah Pinjaman Konvensional Sama Dengan Pembiayaan Islamik?
Tidak, walaupun pinjaman konvensional dan pembiayaan Islam mungkin kelihatan serupa dari segi jumlah bayaran, “serupa tidak bermakna sama”. Perbezaan fundamental terletak pada konsep, struktur, dan pengoperasian kedua-dua sistem.
Seperti perumpamaan yang diberikan oleh pakar, ia seperti membandingkan kari ayam di restoran halal dan tidak halal – walaupun hasilnya kelihatan sama, kaedah penyediaannya berbeza. Pembiayaan Islam menawarkan alternatif yang mematuhi syariah untuk mereka yang ingin menjalankan transaksi bebas riba, dengan struktur yang lebih telus dan adil.