Apabila dikatakan tentang semakan senarai hitam imigresen, ia sangat sinonim dengan peminjam PTPTN. Apa tidaknya, sudah bersiap-siap mahu boarding masuk gate untuk naik kapal terbang, untuk bercuti ke luar negara, tiba-tiba dihalang oleh pihak imigresen.
Kenapa tidak boleh ke luar negara?
Peminjam PTPTN tidak dibenarkan ke luar negara kerana dia tidak membayar hutang PTPTN sedia ada.
Memang wujud sekatan imigresen kepada orang ramai, khususnya lepasan institusi pengajian tinggi yang tidak membayar pembiayaan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Ini bermakna, sekiranya peminjam yang sudah menamatkan pengajian dan bekerja tetapi belum membayar pinjaman pendidikan itu mengikut jadual yang telah ditetapkan, mereka akan disenarai hitam oleh Jabatan Imigresen. Mereka tidak boleh ke luar negara.
Telah banyak berlaku kes di mana individu yang sudah berada di lapangan terbang hampa apabila ditahan dan tidak melepasi saringan Jabatan Imigresen. Sudah tentunya mengecewakan.
Oleh sebab itu, adalah penting untuk setiap individu yang ingin ke luar negara menyemak terlebih dahulu status masing-masing sama ada dalam senarai hitam imigresen atau pun tidak.
Cara buat semakan senarai hitam PTPTN
Cara paling mudah ialah dengan membuat semakan secara online.
- Layari laman web https://sspi.imi.gov.my/sspi
- Kemudian anda hanya perlu masukkan nombor kad pengenalan masing-masing dan ketik pada ikon semak.
- Sekiranya jawapan yang keluar ialah ‘Tiada Halangan’, maksudnya anda bebas dan tidak disenaraihitamkan Jabatan Imigresen.
- Tetapi jika jawapan yang keluar ialah ‘Sila rujuk kepada Jabatan Imigresen terdekat’, besar kemungkinan anda telah disenaraihitamkan.
Dengan kemudahan semakan secara online, adalah dinasihatkan supaya setiap individu yang masih mempunyai hutang pinjaman PTPTN membuat semakan terlebih dahulu sebelum ke luar negara. Ini bagi mengelakkan daripada sebarang kerumitan.
Penghapusan senarai hitam imigresen PTPTN
Walau bagaimanapun, pada tahun 2018, selepas memenangi pilihan raya umum, kerajaan Pakatan Harapan telah membuat ketetapan supaya senarai hitam imigresen PTPTN ini dihapuskan.
Ini sekali gus memberi peluang kepada lebih 400,000 peminjam yang sebelum ini disenarai hitam untuk merealisasikan impian mereka meneroka dan menjelajah negara luar.
Senarai hitam imigresen PTPTN semula
Setelah lebih setahun diberikan pengecualian, dikhabarkan terdapat cadangan dalam Konsultasi Rakyat supaya peminjam yang tidak membayar pinjaman disenarai hitam semula.
Ini kerana dana kerajaan semakin berkurang untuk memberi pinjaman tersebut kepada pelajar yang melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi.
Walau bagaimanapun, perkara itu masih dalam proses perbincangan dan belum dimuktamadkan.
Sekiranya benar, maka tiada lagi pengecualian dan peminjam perlu membayar kepada PTPTN bagi mengelakkan daripada disenarai hitam.
Akhir kata
Bagi mengelakkan kekecewaan, sebelum ke luar negara, pastikan buat semakan senarai hitam imigresen terlebih dahulu.
Langkah terbaik, sama ada untuk mengelak senarai hitam atau tidak ialah dengan membayar pinjaman anda. Hutang perlu dibayar, bayarlah seberapa mampu yang boleh dan tidak membebankan setiap bulan.
Ini untuk generasi akan datang juga, membantu membiayai pendidikan mereka pula.
Jalankan tanggungkawab masing-masing dengan membayar pinjaman PTPTN dan tidak perlu bimbang lagi soal senarai hitam imigresen.
Jemput baca untuk buat simpanan ASB online juga.
Anak Selangor yang dapat pinjaman boleh ubah Peduli Siswa tak perlu risau. Mesti boleh ke luar negara tanpa ada masalah.
Semoga bermanfaat.