PADU (Pangkalan Data Utama) merupakan satu sistem yang diperkenalkan oleh kerajaan Malaysia pada 2 Januari 2024. Tujuan PADU dibangunkan adalah untuk mengumpulkan dan menganalisis data pendapatan serta sosio-ekonomi dalam satu lokasi berpusat. Matlamat utama PADU adalah untuk meningkatkan keberkesanan program kebajikan dengan menggunakan data untuk menyasarkan subsidi dengan lebih tepat.
PADU dibangunkan melalui kerjasama antara Kementerian Ekonomi, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), dan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), dengan mengutamakan keselamatan data, perlindungan privasi, dan penyertaan sukarela rakyat Malaysia.
PADU Online
Sistem PADU
Apa Itu PADU?
PADU (Pangkalan Data Utama) adalah sistem yang diperkenalkan oleh kerajaan Malaysia untuk mengumpulkan profil individu dan isi rumah warganegara serta pemastautin tetap yang berumur 18 tahun ke atas.
Sistem PADU dilancarkan untuk membantu kerajaan dalam melaksanakan dasar secara bersasar dengan memastikan data yang komprehensif dan dikemaskini secara berkala.
Ia dicapai melalui proses pengintegrasian data daripada pelbagai sumber seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Apa Tujuan PADU Diperkenalkan?
PADU (Pangkalan Data Utama) diperkenalkan untuk beberapa tujuan utama yang bertujuan untuk meningkatkan kecekapan dan ketelusan dalam pelaksanaan dasar-dasar kerajaan. Berikut adalah beberapa kegunaan utama PADU:
Mengumpulkan Data Secara Komprehensif
PADU mengumpulkan dan mengintegrasikan data individu dan isi rumah, seperti data pendapatan dan sosio-ekonomi, dari pelbagai agensi kerajaan seperti LHDN, KWSP, dan JPJ. Ini memastikan data yang dikumpulkan adalah lengkap dan dikemaskini secara berkala.
Melaksanakan Dasar Subsidi Bersasar
Sistem PADU membantu kerajaan melaksanakan dasar secara bersasar seperti subsidi minyak dengan menggunakan data yang tepat dan terkini. Ini membolehkan kerajaan mengenal pasti individu atau keluarga yang layak untuk menerima bantuan atau subsidi, seperti Skim Bantuan Sara Hidup (STR) dan MySara, dengan lebih efisien.
Meningkatkan Kecekapan dan Ketelusan
Dengan adanya PADU, kerajaan dapat mengurangkan risiko pertindihan data dan memastikan ketelusan dalam pengagihan bantuan. Maklumat yang diberikan adalah konsisten dan tepat, memudahkan proses pengesahan.
Membuat Keputusan Berpandukan Data
PADU menyediakan platform untuk menghasilkan analisa secara berkala. Ini membantu dalam penggubalan dasar oleh kerajaan dan proses membuat keputusan berpandukan data. Ini akan meningkatkan kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan.
Meningkat Kesejahteraan Sosial dan Ekonomi
Sistem PADU juga bertujuan untuk meningkatkan kesejahteraan ekonomi dan rakyat dengan memastikan mereka yang layak tidak tercicir daripada menerima bantuan. Ini merapatkan jurang sosioekonomi dengan memenuhi keperluan rakyat serta mengimbangi pembangunan.
Rakyat Malaysia digalakkan mendaftar PADU dan perlu memastikan bahawa maklumat mereka adalah terkini dan tepat. Ini akan memudahkan mereka untuk mendapatkan bantuan atau perlindungan sosial yang disediakan oleh kerajaan.
Macam Mana Cara Daftar PADU?
Berikut adalah langkah-langkah untuk mendaftar dalam sistem PADU (Pangkalan Data Utama) secara dalam talian:
- Pergi ke laman web rasmi PADU di padu.gov.my
- Klik pada butang ‘Daftar Sekarang’.
- Masukkan nama penuh, nombor kad pengenalan (MyKad), poskod, nombor telefon bimbit yang aktif, dan alamat e-mel yang sah. Pastikan maklumat ini sama seperti yang tertera pada kad pengenalan anda.
- Anda akan menerima OTP (kata laluan sekali guna) melalui SMS atau e-mel.
- Masukkan kod OTP tersebut di laman web PADU untuk meneruskan pendaftaran. Jika tidak menerima OTP dalam tempoh yang ditetapkan, anda perlu baut permohonan semula.
- Cipta kata laluan yang kuat dengan gabungan huruf besar, huruf kecil, nombor, dan karakter unik (contoh: #*@%$!?&). Kata laluan mesti mempunyai sekurang-kurangnya lapan 8 aksara.
- Setelah kata laluan ditetapkan, laman web akan menghasilkan kod QR untuk pengesahan identiti.
- Imbas kod QR ini menggunakan kamera telefon pintar anda. Anda perlu mengambil gambar depan dan belakang kad pengenalan serta swafoto (selfie) untuk proses eKYC.
- Setelah proses eKYC selesai dan berjaya, anda akan menerima pengesahan melalui SMS atau e-mel yang menyatakan bahawa pendaftaran anda telah berjaya.
- Anda kini boleh log masuk ke akaun PADU dan mengemaskini maklumat anda jika diperlukan.
Sila pastikan semua maklumat di dalam sistem PADU dikemaskini untuk memudahkan penerimaan bantuan dan subsidi yang layak.
Permohonan Pendaftaran PADU Dibuka Untuk Siapa?
Semua warganegara Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas perlu membuat permohonan pendaftaran dalam sistem PADU (Pangkalan Data Utama). Selain itu, pemastautin tetap juga layak untuk mendaftar.
Pendaftaran ini penting bagi individu dalam kategori berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40), serta penjawat awam, untuk memastikan mereka tidak tercicir daripada menerima bantuan dan subsidi kerajaan yang disasarkan.
Pendaftaran juga terbuka kepada ketua isi rumah dan ahli isi rumah bagi memastikan semua maklumat keluarga adalah lengkap dan tepat.
Berikut adalah jadual yang menunjukkan siapa yang digalakkan memohon PADU:
Kategori | Keterangan |
---|---|
Warganegara Malaysia | Semua warganegara Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas layak untuk mendaftar dan memohon PADU. |
Pemastautin Tetap | Pemastautin tetap Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas juga layak untuk mendaftar dan memohon PADU. |
Golongan Berpendapatan Rendah (B40) | Individu dalam kategori berpendapatan rendah (B40) layak memohon bagi mendapatkan bantuan dan subsidi bersasar yang diperuntukkan kerajaan. |
Golongan Berpendapatan Sederhana (M40) | Individu dalam kategori berpendapatan sederhana (M40) juga layak untuk memohon, terutamanya untuk bantuan yang memerlukan penilaian pendapatan bersih boleh guna. |
Penjawat Awam | Semua penjawat awam di Malaysia diminta untuk mendaftar dan mengemaskini maklumat dalam sistem PADU. |
Isi Rumah | Ketua isi rumah dan ahli isi rumah juga boleh mendaftar untuk memastikan semua maklumat isi rumah adalah lengkap dan tepat. |
Nota: Pendaftaran dan kemaskini maklumat di dalam PADU adalah percuma dan terbuka dari 2 Januari 2024 hingga 31 Mac 2024. Individu yang tidak mendaftar mungkin tidak akan layak menerima bantuan kewangan, subsidi, atau perlindungan sosial yang disediakan oleh kerajaan.
Adakah Pendaftaran PADU Itu Secara Sukarela?
Ya, pendaftaran PADU adalah secara sukarela. Walau bagaimanapun, kerajaan menggalakkan rakyat Malaysia untuk mendaftar dan mengemaskini maklumat mereka supaya tidak terlepas peluang untuk menerima subsidi yang disasarkan dan program bantuan pada masa hadapan.
Maklumat daripada semua pangkalan data kerajaan berpusat akan digunakan untuk menentukan kelayakan subsidi, dan mereka yang memilih untuk tidak mendaftar mungkin tidak akan dipertimbangkan untuk inisiatif-inisiatif pada masa hadapan.
Adakah Proses Daftar PADU Boleh Dilakukan Secara Manual?
Ya, bagi mereka yang tidak dapat mendaftar secara dalam talian disebabkan kekurangan akses internet, kerajaan telah menyediakan beberapa pilihan pendaftaran secara manual.
Pendaftaran manual juga boleh dilakukan di pejabat negeri Jabatan Perangkaan Malaysia, Pusat Ekonomi Digital (PEDi), dan pelbagai pejabat kerajaan lain di seluruh negara.
Ini adalah untuk memastikan bahawa semua rakyat Malaysia berpeluang untuk mendaftar dengan PADU, tanpa mengira lokasi atau akses kepada teknologi.
Berapa Ramai Rakyat Malaysia Sudah Mendaftar PADU?
Sehingga 30 Mac 2024, sebanyak 10.03 juta individu telah mendaftar dalam sistem PADU. Jumlah ini bersamaan dengan 48.3% daripada keseluruhan 21.96 juta warganegara Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas.
Pada 31 Mac 2024, menjelang penutupan pendaftaran, jumlah pendaftaran meningkat kepada hampir 11 juta. Putrajaya mencatatkan peratusan tertinggi dengan 9.8%, diikuti oleh Sarawak dengan 7.8% dan Perlis.
Macam Mana Cara Login PADU?
Berikut adalah langkah-langkah untuk log masuk ke akaun PADU setelah berjaya mendaftar:
- Pergi ke laman web rasmi PADU.
- Pada halaman utama, cari dan klik butang “Log Masuk”.
- Masukkan nombor kad pengenalan (IC) anda dan kata laluan yang telah anda tetapkan semasa pendaftaran.
- Setelah maklumat log masuk dimasukkan dengan betul, klik pada butang “Log Masuk” untuk mengakses halaman utama akaun PADU anda.
- Setelah log masuk, anda boleh mengemaskini maklumat peribadi anda dengan mengklik pada bahagian “Kemaskini”.
- Masukkan maklumat yang diperlukan dan pastikan untuk menyimpan perubahan yang dilakukan.
Anda perlu mengurus akaun PADU dengan memastikan semua maklumat adalah terkini dan tepat untuk memudahkan penerimaan bantuan dan subsidi yang layak.
Apakah Kepentingan Kemaskini Maklumat dalam Sistem PADU?
Proses kemas kini maklumat dalam sistem PADU (Pangkalan Data Utama) adalah penting untuk memastikan data yang tepat dan terkini bagi setiap individu yang berdaftar.
Kemas kini maklumat PADU adalah penting untuk memastikan tiada individu yang tercicir daripada menerima bantuan dan subsidi kerajaan yang disasarkan.
Proses kemas kini melibatkan pengisian maklumat peribadi seperti status pekerjaan, pendapatan, dan maklumat isi rumah, yang membantu kerajaan dalam merancang dan melaksanakan dasar dengan lebih efektif.
Apakah Kebimbangan Rakyat dengan PADU?
Berikut adalah beberapa kebimbangan umum masyarakat tentang sistem PADU (Pangkalan Data Utama) di Malaysia:
Isu Keselamatan Data dan Privasi
Banyak pihak bimbang tentang keselamatan dan privasi data yang dikumpulkan oleh PADU. Terdapat kebimbangan bahawa sistem ini mungkin terdedah kepada serangan siber dan kecurian data, seperti yang telah berlaku sebelum ini di Malaysia. Malah, ada laporan bahawa data peribadi 22.5 juta rakyat Malaysia pernah dicuri dari pelayan kerajaan dan dijual di ‘dark web’.
Isu Integriti dan Kepercayaan
Masyarakat menunjukkan keraguan terhadap kemampuan kerajaan dalam melindungi data peribadi mereka. Ketidakpercayaan ini diperkuat oleh insiden kebocoran data yang berlaku sebelum ini. Ramai yang ragu-ragu untuk mendaftar kerana takut data mereka akan disalahgunakan.
Isu Pengesahan Identiti Semasa Pendaftaran
Terdapat kebimbangan bahawa proses pendaftaran dan pengesahan identiti (eKYC) dalam PADU mungkin disalahgunakan.
Misalnya, jika seseorang mempunyai nombor kad pengenalan dan poskod individu lain, mereka boleh mendaftarkan akaun tersebut, yang boleh membawa kepada pencurian identiti.
Walaupun proses eKYC memerlukan pengesahan foto, risiko ini tetap menimbulkan kerisauan.
Terlalu Banyak Sistem Pangkalan Data
Ada yang mempersoalkan keperluan PADU kerana Malaysia sudah mempunyai beberapa sistem pangkalan data seperti BR1M, Prihatin, STR, dan e-Kasih.
Masyarakat merasa bahawa PADU mungkin ‘redundant’ dan tidak menawarkan sesuatu yang baru, sebaliknya hanya menambah data yang sudah ada.
Penyalahgunaan Data
Kebimbangan juga timbul mengenai kemungkinan penyalahgunaan data, siapa yang memiliki dan mengawal data yang dikumpulkan oleh PADU.
Walaupun kerajaan telah menyatakan bahawa data akan dikawal oleh agensi-agensi kerajaan, masyarakat masih bimbang tentang potensi penyalahgunaan data oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Kebimbangan ini menekankan keperluan untuk kerajaan memastikan keselamatan dan integriti sistem PADU, serta meningkatkan kepercayaan awam melalui ketelusan dan langkah-langkah perlindungan data yang kukuh.
Kesimpulan
Kejayaan sistem PADU akan bergantung pada penyertaan meluas rakyat Malaysia. Walaupun pendaftaran adalah sukarela, kerajaan telah menekankan faedah mendaftar dari segi memastikan akses berterusan kepada subsidi dan bantuan pada masa hadapan.
Kerajaan perlu telus tentang bagaimana data dikumpulkan dan digunakan, dan responsif terhadap kebimbangan dan maklum balas orang ramai.
Dengan melibatkan masyarakat secara aktif dan mewar-warkan faedah PADU secara nyata, kerajaan dapat membina momentum untuk transformasi digital dan meletakkan asas bagi masa depan yang lebih makmur dan inklusif untuk semua rakyat Malaysia.