Untuk login PAJSK, guru menggunakan akaun sendiri melalui idMe KPM bagi mengakses Sistem Pengurusan Pentaksiran Bersepadu (SPPB). Pelaporan dan slip PAJSK dijana melalui SPPB Modul PAJSK, seperti yang dinyatakan dalam Panduan Pengurusan PBS KPM Edisi 1 Tahun 2025.
Semakan 10 November 2026: alamat lama pajsk.moe.gov.my tidak dapat dicapai dalam semakan ini. Panduan memilih Sekolah Rendah/Menengah dan memasukkan ID Kod Sekolah pada portal lama tidak digunakan sebagai langkah log masuk semasa di sini. Jika modul tidak tersedia selepas log masuk idMe, rujuk pentadbir sistem sekolah untuk semakan peranan dan capaian.
Apa Itu PAJSK?
PAJSK ialah singkatan bagi Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum, iaitu sistem penilaian yang diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk menilai penglibatan dan pencapaian murid dalam aktiviti jasmani, sukan, dan kokurikulum.
Sistem ini merangkumi penilaian untuk aktiviti jasmani melalui ujian SEGAK, penglibatan dalam sukan, serta penyertaan dalam kegiatan kokurikulum seperti kelab, persatuan, dan badan beruniform. PAJSK memberikan gambaran tentang perkembangan dan penglibatan murid dalam aktiviti di luar bilik darjah.
Markah PAJSK bukan sekadar rekod sekolah. Markah kokurikulum yang direkod dalam sistem ini menyumbang 10% merit bagi permohonan kemasukan ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Universiti Awam melalui sistem UPU. Markah ini juga digunakan semasa pemilihan murid ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan institusi MARA. Sebab itu data yang diisi guru dalam PAJSK perlu tepat dan lengkap sebelum disahkan.
Siapakah Yang Boleh Mengakses PAJSK?
PAJSK menyediakan akses kepada beberapa peringkat pentadbiran pendidikan termasuk pegawai Bahagian Pendidikan, pegawai Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), pegawai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), dan guru sekolah. Setiap kategori pengguna ini mempunyai tahap capaian dan fungsi yang berbeza berdasarkan peranan dan tanggungjawab mereka dalam sistem pendidikan.
Sebagai contoh, guru hanya boleh mengakses data murid di sekolah mereka sendiri, manakala pegawai JPN boleh memantau data di peringkat negeri.
Bagaimana Cara Login PAJSK?
- Buka portal rasmi idMe KPM.
- Log masuk menggunakan akaun idMe sendiri dan ikut arahan pengesahan pada skrin.
- Akses SPPB dan Modul PAJSK mengikut capaian yang diberikan kepada akaun guru.
- Hubungi pentadbir sistem sekolah jika modul atau peranan yang diperlukan tidak dipaparkan. Jangan gunakan akaun guru lain.
Manual KPM menerangkan akses SPPB melalui idMe pada halaman bercetak 45 dan pelaporan melalui SPPB Modul PAJSK pada halaman bercetak 4. Untuk bantuan akaun, rujuk panduan login idMe KPM. Paparan selepas pengesahan bergantung pada peranan pengguna; modul di sebalik log masuk tidak diperiksa menggunakan akaun peribadi dalam semakan ini.
Apa Itu Ujian SEGAK?
Ujian SEGAK ialah singkatan bagi Standard Kecergasan Fizikal Kebangsaan yang memperlihatkan tahap kecergasan fizikal murid. Ia diukur melalui lima aktiviti: BMI, naik turun bangku 3 minit, tekan tubi (tekan tubi ubah suai bagi murid perempuan), ringkuk tubi separa, dan jangkauan melunjur. Ujian dilaksanakan dua kali setahun mengikut surat pemakluman KPM bagi kalendar akademik. Menurut Panduan Pengurusan PBS Edisi 1 Tahun 2025, SEGAK wajib bagi murid Tahun 4 hingga Tahun 6, Kelas Peralihan dan Tingkatan 1 hingga 5. Murid berkeperluan pendidikan khas dan murid yang menghidap penyakit kronik atau tidak sihat (disahkan pegawai perubatan) dikecualikan. Umur murid dikira pada 31 Disember tahun semasa, dan ujian setiap murid mesti dilengkapkan pada hari yang sama.
Bagaimana Cara Pengisian SEGAK?
Untuk mengisi markah SEGAK, guru Pendidikan Jasmani yang bertanggungjawab perlu melakukan perkara berikut::
- Memberi taklimat ujian pada murid, ukur tinggi dan berat (BMI).
- Jalankan aktiviti pemanasan badan.
- Lakukan lima aktiviti SEGAK mengikut turutan.
- Ukur dan catat skor berdasarkan norma.
- Lengkapkan borang (BSSR untuk rendah, BSSM untuk menengah).
- Rekodkan markah dalam sistem PAJSK dan rancang intervensi jika diperlukan
Bagaimana Cara Semak Markah Kokurikulum?
Markah kokurikulum adalah sebahagian daripada PAJSK. Ibu bapa dan murid boleh meminta pihak sekolah membantu mendapatkan slip pelaporan PAJSK. Sekolah menjana laporan melalui modul yang berkaitan.
Komponen kokurikulum meliputi tiga kategori: sukan dan permainan, kelab dan persatuan, serta badan beruniform. Menurut jadual KPM, setiap aktiviti dinilai pada tiga aspek dengan jumlah 110 markah: Pelibatan (50 markah, daripada jawatan, peringkat, komitmen dan khidmat sumbangan), Penyertaan (40 markah, iaitu kehadiran) dan Prestasi (20 markah, iaitu pencapaian). Komponen ekstra kurikulum pula mempunyai lima elemen, masing-masing 10 skor: perkhidmatan (perjawatan), anugerah khas, khidmat masyarakat, NILAM, serta TIMSS dan PISA.
Apa Beza Antara PAJSK dan SEGAK?
PAJSK bermaksud Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum, yang merupakan sistem pentaksiran bersepadu meliputi tiga komponen utama: ujian SEGAK, penilaian kokurikulum (aktiviti persatuan, badan uniform, dan sukan), serta aktiviti ekstrakurikulum. SEGAK ialah salah satu komponen dalam PAJSK yang memberi tumpuan kepada kecergasan fizikal murid, tetapi PAJSK turut merangkumi aspek lain seperti kehadiran, penglibatan dan prestasi kokurikulum.
Bagaimana Cara Mengisi Markah Murid Dalam PAJSK?
Pengisian skor dan pelaporan dibuat melalui SPPB mengikut peranan guru. Gunakan panduan semasa sekolah untuk paparan modul, bukan urutan butang daripada portal PAJSK lama.
- Semak senarai murid, kelas dan tahun pentaksiran yang hendak dikemas kini.
- Sediakan rekod aktiviti serta bukti penyertaan yang berkaitan sebelum mengisi skor.
- Masukkan maklumat dalam modul yang diberikan kepada akaun anda.
- Semak semula rekod dan laporan individu sebelum melengkapkan pengesahan yang diarahkan oleh sekolah.
Apakah Komponen Yang Perlu Dilengkapkan Dalam PAJSK?
Rujuk komponen pentaksiran yang berkaitan dengan murid dan tugasan guru dalam panduan KPM. Rekod aktiviti sukan dan kokurikulum serta ekstra kurikulum perlu disemak bersama rekod pentaksiran jasmani yang berkenaan. Jangan menganggap label status atau susunan menu portal lama masih sama dalam SPPB.
Bagaimana Markah PAJSK Dikira Dan Digredkan?
Laporan PAJSK dalam SPPB memaparkan Jumlah Skor (%) bagi setiap komponen serta GPA/CGPA dan gred, bersama pernyataan prestasi. Contoh slip dalam Panduan Pengurusan PBS Edisi 1 Tahun 2025 menunjukkan GPA 9.09 dan 9.32, kedua-duanya bergred A. KPM tidak menyenaraikan julat peratusan bagi setiap gred dalam panduan itu, jadi jangan bergantung pada jadual gred yang beredar di internet. Rujuk slip rasmi yang dijana daripada SPPB Modul PAJSK atau tanya guru penasihat anda.
Berapa Lama Tempoh Masa Pengisian PAJSK?
Gunakan jadual pengisian bagi tahun pentaksiran yang sedang diuruskan, berdasarkan pemakluman KPM dan sekolah. Semak sesi serta kumpulan murid sebelum merujuk tarikh akhir. Tarikh daripada panduan tahun terdahulu tidak boleh dianggap sebagai jadual semasa.
Siapkan rekod lebih awal supaya masih ada masa untuk menyemak maklumat yang tidak lengkap. Penyelaras sekolah boleh membantu mengesahkan jadual dan tindakan yang perlu dibuat.
Bagaimana Dengan Pengesahan Markah Dalam PAJSK?
Semak rekod aktiviti dan skor sebelum membuat pengesahan mengikut peranan yang diberikan. Rujuk penyelaras sekolah untuk urutan kerja semasa. Jangan bergantung pada nama butang atau status pengesahan daripada tangkapan layar portal lama.
Bagaimana Cara Buat Pembetulan Selepas Pengesahan Dalam PAJSK?
Maklumkan kesilapan kepada penyelaras atau pentadbir sistem sekolah. Sediakan rekod aktiviti dan butiran yang perlu disemak. Ikut saluran pembetulan yang dimaklumkan oleh sekolah atau PPD bagi kes berkenaan.
Apakah Kelebihan Sistem PAJSK?
Menurut KPM, skor murid direkodkan oleh guru penasihat atau guru kelas dalam sistem pentaksiran, dan pelaporan individu serta slip keputusan PAJSK dijana daripada SPPB Modul PAJSK. Ini bermakna rekod aktiviti murid disimpan di satu tempat dan boleh dicetak sebagai laporan rasmi.
Apakah Impak PAJSK Terhadap Penilaian Murid?
PAJSK ialah komponen pentaksiran bukan akademik dalam Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS). Bagi murid lepasan SPM yang memohon ke universiti awam melalui UPUOnline, Kementerian Pendidikan menyatakan pada 8 Julai 2024 bahawa merit permohonan merangkumi 10% skor kokurikulum di samping keputusan peperiksaan, seperti yang dilaporkan oleh The Star dan Bernama. Laporan yang sama menyebut markah PAJSK sesetengah calon SPM 2023 kosong, dan KPM berjanji menilai semula data itu. Jika markah PAJSK anak anda nampak kosong atau salah, minta pihak sekolah menyemaknya awal, bukan selepas permohonan universiti dibuat.
Siapa Yang Menguruskan PAJSK Di Peringkat KPM Dan Sekolah?
Panduan Pengurusan PBS Edisi 1 Tahun 2025 menamakan Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian KPM sebagai kustodian PAJSK, yang memastikan dasar, pelaksanaan dan penjaminan kualiti PAJSK mengikut panduan. Guru yang menghadapi masalah dengan modul PAJSK patut bertanya penyelaras PBS sekolah atau PPD dahulu. Halaman rasmi yang disemak tidak menjanjikan manual pengguna atau video tutorial dalam modul, jadi tanya pihak sekolah sama ada bahan sokongan disediakan.
Apakah Peranan Guru Penolong Kanan Kokurikulum Dalam PAJSK?
KPM tidak menamakan Guru Penolong Kanan (GPK) Kokurikulum sebagai "pentadbir utama" PAJSK. Menurut panduan itu, GPK Kokurikulum ialah ahli Jawatankuasa PBS sekolah bersama Setiausaha Kokurikulum, manakala skor aktiviti direkodkan oleh guru penasihat atau guru kelas, dan ujian SEGAK dilaksanakan oleh guru yang dilatih di bawah Panitia Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan. Untuk akaun, kata laluan dan akses modul, rujuk pentadbir SPPB di sekolah anda.
Bagaimana Jika Menghadapi Masalah Dengan Sistem PAJSK?
Hubungi penyelaras PAJSK atau pentadbir sistem sekolah untuk masalah capaian. Catat masa kejadian, langkah terakhir yang dibuat dan mesej ralat. Jangan sertakan kata laluan dalam permintaan bantuan.
Untuk masalah teknikal atau kemusykilan pengisian data, mulakan dengan penyelaras PBS atau pentadbir SPPB di sekolah anda. Jika anda perlu mengakses sistem KPM yang lain pula, senarai pautan log masuk rasmi boleh dirujuk di halaman log masuk portal kami.