Yang mana satu medical card takaful terbaik? Yang mana satu yang bagus untuk anak dan keluarga? Jika anda salah seorang yang sedang mencari medical card dan gigih simpan duit gaji, anda perlu terus membaca.
Yang penting, pastikan baca dahulu cara pilih takaful medical card sebelum buat keputusan apa-apa.
Dialog ejen penjual insurans
“Assalamualaikum bang. Saya dari xxxxx.”
“Abang pernah dengar mengenai medical card xxxxx?”
Situasi ini pasti sering dilalui kebanyakkan individu hari ini, kan?
Ejen insurans menawarkan perkhidmatan mereka dan menjual produk kad perubatan atau lebih mesra disebut medical card dalam kalangan orang ramai.
Medical card satu keperluan
Jika dulu medical card ini sangat asing kepada rakyat Malaysia, sehingga ada yang selalu cuba mencari alasan dan lari setiap kali didatangi oleh ejen-ejen atau lebih mesra jika disapa sebagai perunding insurans, kini boleh dikatakan senario semakin berubah.
Hari ini, perunding insurans dan takaful dicari-cari oleh orang ramai. Ini kerana kesedaran yang semakin subur dalam kalangan rakyat Malaysia mengenai kepentingan memiliki medical card untuk menjamin liputan perubatan sekiranya berlaku sesuatu kepada diri masing-masing.
Bukan mahu menafikan mengenai perkhidmatan kesihatan disediakan oleh hospital dan pusat kesihatan kerajaan, lebih-lebih lagi Malaysia diakui sebagai antara penyedia perkhidmatan perubatan terbaik di dunia.
Cumanya disebabkan pengguna hospital awam terlalu ramai, ada kalanya pesakit perlu bersesak, menunggu giliran untuk dilayan dan menetapkan temu janji. Jadi, medical card yang ditawarkan oleh syarikat-syarikat penyedia perkhidmatan insurans/takaful ini merupakan alternatif kepada orang ramai.
Medical card ini digunakan di rangkaian hospital swasta yang menawarkan perkhidmatan berdasarkan pakej yang diambil oleh pengguna satu-satu perkhidmatan medical card. Semakin tinggi bayarannya, semakin ‘hebat’ layanan yang diberikan pihak hospital.
Medical card untuk kesihatan dan simpanan
Selain itu, Medical Card yang ada hari ini bukan hanya menawarkan liputan kepada kesihatan pelanggan sahaja tetapi turut melibatkan simpanan. Sebagai contoh caruman RM200 sebulan yang dibayar pelanggan, RM50 daripadanya dimasukkan sebagai simpanan.
Dalam erti kata lain, jika seorang itu mengambil pelan medical card dari usia muda sehinggalah mencecah usia 50 tahun ke atas, dia akan mempunyai simpanan berpuluh ribu ringgit. Berbaloi kan? Bukan hanya meliputi kesihatan tetapi juga simpanan masa depan.
Medical card takaful terbaik
Baiklah. Di Malaysia ini terdapat banyak medical card yang ditawarkan. Ada yang kita biasa dengar nama syarikat yang menawarkan perkhidmatan itu dan ada juga yang tidak pernah dengar, tetapi wujud.
Berikut merupakan antara syarikat insurans takaful yang ada di negara ini serta antara faedah-faedah produk medical card yang ditawarkan.
Perlu dijelaskan bahawa yang disenaraikan bukannya kesemua faedah yang ditawarkan syarikat insurans takaful terbabit kerana jumlahnya terlalu banyak, bergantung kepada pakej yang diambil.
Yang disenaraikan hanyalah secara umum.
Medical card Prudential BSN
- Perlindungan diri mengikut pendapatan anda sendiri dari serendah RM50 sebulan
- Pelan eksklusif yang menawarkan perlindungan, simpanan dan peluang untuk melakukan kebajikan pada masa yang sama.
- Menyediakan perlindungan untuk kanser dan peringkat awal kanser.
- Mempunyai sistem online yang di mana boleh login Prudential BSN melalui PruBSN Touch
Medical card AIA
- Menawarkan pelbagai produk medical card.
- Namun paling popular ialah A-Plus Health
- Perlindungan yang komprehensif.
- Liputan sehingga usia 70, 80 malah 100 tahun.
- Turut boleh ditawarkan oleh bayi baru lahir (seawal usia 14 hari).
Medical card Etiqa
- Liputan perlindungan tanpa had umur.
- Tiada pemeriksaan perubatan. Hanya jawab tiga soalan kesihatan untuk perlindungan segera.
- Surat GL dengan hanya satu panggilan ke talian bebas yang beroperasi 24 jam dan dimasukkan ke hospital tanpa perlu melakukan sebarang pembayaran.
Medical card Takaful Ikhlas
- Perlindungan penuh dan nikmati perlindungan sehingga RM100,000 setahun meliputi rawatan susulan sehingga tiga bulan selepas keluar dari hospital.
- Tiada had seumur hidup sehingga berusia 85 tahun.
Medical card Great Eastern
- Kos rendah tetapi perlindungan yang tinggi. Contohnya caruman sebanyak RM150 sebulan, pelanggan layak untuk mendapat layanan bilik hospital bernilai RM150 dengan perlindungan RM90,000 setahun dan RM900,000 seumur hidup.
- Manfaat penundaan kenderaan percuma.
- Pulangan tunai yang lebih tinggi.
Ini hanyalah antara produk medical card yang ditawarkan syarikat insurans takaful yang biasa didengar oleh orang ramai. Sebenarnya ada banyak lagi medial card yang ditawarkan di pasaran. Yang disenaraikan ini boleh dikatakan merupakan antara yang popular.
Disebabkan pelbagai pilihan, ada kalanya orang ramai keliru dan tidak tahu mahu memilih medical card daripada syarikat yang mana satu. Ini merupakan dilema kepada orang ramai yang dalam isu ini merupakan pengguna medical card.
Sebab itu tidak hairan apabila kebiasaannya, orang ramai lebih selesa mengambil masa dan memikir dulu segala kemungkinan yang ada sebelum membuat satu-satu keputusan untuk memilih pakej terbaik serta sesuai dengan diri mereka.
Ciri ciri medical card takaful yang bagus & terbaik
Dalam memilih medical card ini, beberapa faktor perlu diambil kira. Ini penting untuk mengetahui samada ini adalah medical card yang terbaik untuk kita.
Antaranya ialah:
Kos bulanan
Setiap medical card yang ditawarkan syarikat insurans takaful mempunyai pelbagai pakej. Dan pakej-pakej ini pula ditawarkan dalam pelbagai bentuk harga.
Ada yang menawarkan bayaran bulanan rendah, di bawah RM100 dan ada juga yang boleh mencecah sehingga RM300 ke RM400 sebulan, bergantung kepada pakej. Seperti diterangkan di atas, semakin tinggi kadar bulanan yang dibayar, semakin tinggi jumlah liputan serta layanan yang diterima pemilik medical card.
Liputan tahunan atau seumur hidup
Ini perlu diteliti sedalam-dalamnya oleh orang ramai sebelum memilih medical card. Kadang kala ada perunding insurans takaful menyatakan liputan medical card ditawarkan syarikat mereka mencecah RM500,000 ke RM700,000.
Perlu diselidik dahulu sama ada nilai tersebut liputan tahunan atau seumur hidup. Apa bezanya? Ada perbezaan, RM700,000 itu mungkin liputan seumur hidup tetapi tahunan hanya RM100,000.
Ini bermakna sekiranya pelanggan medical card tersebut mendapatkan rawatan atau pembedahan yang kritikal sehingga melebihi RM100,000, jumlah liputan setahun medical card, pelanggan tersebut perlu membayar sendiri baki yang kurang itu.
Jadi penting untuk memikirkan perkara ini sedalam-dalamnya sebelum memilih medical card.
Pelan boleh ubah atau tidak
Ini juga perkara yang wajar diberikan perhatian dalam memilih medical card. Mengapa?
Kerana syarikat insurans takaful boleh membatalkan pelan atau menarik balik produk yang telah ditawarkan dengan notis yang singkat. Ini juga bermakna syarikat insurans takaful berkenaan boleh berhenti menganggung segala tuntutan yang ada.
Ini wajar diberikan perhatian.
Terdapat beberapa faktor lain yang perlu diambil kira. Yang disenaraikan diatas merupakan tiga faktor yang difikirkan sangat perlu dipertimbang secara mendalam sebelum sebarang keputusan diambil untuk melanggan perkhidmatan medical card.
Patuh syariah
Selain itu, timbul persoalan sama ada medical-medical card yang ditawarkan adalah patuh syariah?
Baiklah. Dalam isu ini, boleh dikatakan majoriti syarikat insurans menawarkan produk takaful termasuklah medical card.
Takaful ini merupakan insurans patuh syariah. Jadi, daripada terma takaful yang digunakan juga sudah menggambarkan produk medical ditawarkan adalah mematuhi syariah. Tiada isu.
Jadi, selepas penerangan yang diberikan panjang lebar di atas, medical card mana yang boleh dianggap terbaik?
Akhir kata
Medical card yang bagus itu tidak sama untuk setiap individu. Ada yang bagus untuk seseorang kerana bajet, namun tidak untuk yang lain. Ada yang kata medical card takaful ini terbaik, tapi tidak bersesuan pula dengan kehendaknya.
Ia berbalik pada apa yang pelanggan mahukan daripada medical card mereka. Adakah:
- Perlindungan yang lebih meluas?
- Tempoh liputan perlindungan yang lebih panjang?
- Manfaat daripada simpanan caruman setiap bulan?
Sebab itu, orang ramai disaran meneliti terlebih dahulu setiap pelan medical card yang ditawarkan di pasraan sebelum membuat sebarang keputusan. Pilih yang sesuai dengan diri dan situasi kewangan semasa.
Jika keliru dan bimbang kena scam, pastikan semak dengan Bank Negara Malaysia dahulu di https://www.bnm.gov.my
Semoga bermanfaat.