What's Hot

    Macam mana cara semak CCRIS, untuk tahu kita ini blacklist atau tidak? Izinkan kami kongsi panduan check dan buat semakan secara online.

    Harus diingatkan, CCRIS tidak sama dengan CTOS. Baca tentang CTOS untuk mengetahui lebih lanjut di sini.

    Sedikit mengenai CCRIS

    CCRIS atau Central Credit Reference Information System menyediakan laporan kredit dan diuruskan oleh Biro Kredit Bank Negara Malaysia. Secara ringkas, CCRIS mengumpul maklumat kredit dari pengendali servis kewangan di Malaysia seperti bank, broker insurans, dan juga syarikat swasta yang menyediakan servis utiliti seperti telekomunikasi. Antara maklumat yang akan terpapar dalam laporan kredit CCRIS ialah pinjaman tertunggak, saman, dan status muflis.

    Semak laporan penyata CCRIS

    Laporan CCRIS akan mengumpulkan rekod bayaran bulanan peminjam untuk 12 bulan terkini dengan Institusi Kewangan. Ia termasuk butiran pinjaman di setiap institusi kewangan di Malaysia serta pinjaman di bawah pemerhatian bank, proses penjadualan dan penstrukturan semula. Rekod kewangan yang baik akan memaparkan semua nombor 0, 0, 0, 0, 0. Bermakna, anda tidak mempunyai tunggakan pembiayaan dan mempunyai rekod bersih untuk membuat sebarang pinjaman seterusnya.

    Institusi kewangan seterusnya yang akan memberi pinjaman kepada anda akan menerima laporan CCRIS anda, dan anda akan ditentukan sama ada layak atau tidak membuat pinjaman seterusnya, bergantung dengan rekod pinjaman, dan bayaran balik anda yang terdahulu.

    Cara semak CCRIS

    Anda juga boleh semak laporan CCRIS anda. Banyak cara yang boleh dilakukan untuk anda mendapatkan laporan CCRIS anda dan di bawah adalah antara cara yang anda boleh lakukan.

     

    Cara semak CCRIS di kaunter Bank Negara Malaysia

    Anda boleh mendapatkan laporan CCRIS daripada kaunter atau kiosk yang terdapat di mana-mana cawangan Bank Negara Malaysia. Laporan ini adalah percuma. Anda cuma perlu walk-in dan bawa kad pengenalan anda (MyKad).

    Cara mendapatkan laporan CCRIS di kaunter:

    1. Bawa kad pengenalan anda (MyKad) anda ke kaunter, berserta dengan beberapa dokumen lain yang dapat mengesahkan identiti anda, seperti pasport atau lesen memandu.
    2. Maklumkan bahawa anda ingin mendapatkan laporan CCRIS anda.
    3. Ikuti segala prosedur yang diarahkan oleh pegawai, dan anda akan menerima laporan CCRIS anda.

     

    Cara semak CCRIS di kiosk Bank Negara Malaysia

    Berikut ialah cara cetak laporan CCRIS di kiosk Bank Negara Malaysia:

    1. Pergi ke mesin kiosk yang berfungsi, kemudian pilih bahasa yang anda ingin gunakan, sama ada Bahasa Malaysia atau English.
    2. Kemudian, pilih paparan butang CETAK LAPORAN, dan ikuti prosedur seterusnya.
    3. Kemudian, masukkan kad pengenalan (MyKad) anda pada slot yang disediakan.
    4. Seterusnya, pada bawah slot, tempat untuk scan ibu jari (thumbprint) akan menyala. Scan thumbprint
    5. Tunggu sehingga skrin bertukar dan prosedur seterusnya berjalan.
    6. Kemudian, apabila anda mendapat arahan di skrin, keluarkan MyKad anda.
    7. Tunggu sehingga laporan CCRIS anda dicetak.
    8. Setelah dicetak, ambil laporan CCRIS anda pada slot LAPORAN KREDIT.

    Terdapat beberapa cawangan Bank Negara yang anda boleh pergi:

    • Ibu Pejabat Bank Negara Malaysia (Kuala Lumpur)
    • Laman Informasi Nasihat dan Khidmat Pelanggan (BNMLINK), Kuala Lumpur
    • Pusat Perhubungan (BNMTELELINK), Kuala Lumpur
    • Cawangan Bank Negara Malaysia Pulau Pinang
    • Cawangan Bank Negara Malaysia Johor Bahru
    • Cawangan Bank Negara Malaysia Kota Kinabalu
    • Cawangan Bank Negara Malaysia Kuala Terengganu
    • Cawangan Bank Negara Malaysia Kuching

     

    Buat semakan melalui email

    Antara lain, cara semak CCRIS boleh dibuat melalui email. Cuma, ia tidaklah boleh dapat laporan pada masa itu juga.

    Sekiranya anda tidak dapat pergi ke mana-mana cawangan Bank Negara (BNM), anda boleh sahaja emel ke [email protected], ataupun faks permohonan anda ke 03-21741515. Pastikan permohonan laporan CCRIS anda disertakan sekali dengan:

    • Credit Report Request Form (anda boleh download di linkhttps://creditbureau.bnm.gov.my/files/CRR%20Form_28_Oktober_2011.pdf.
    • Loan Declaration Form (terdapat di link yang sama – dua form dalam satu file)
    • Salinan kad pengenalan (MyKad) anda – depan dan belakang.
    • Penambahan dua lagi dokumen yang berkaitan dengan anda (terdapat catatan nama anda dan alamat rumah anda), seperti bil elektrik rumah anda dan bil air rumah anda.
    • Anda juga boleh menyediakan dokumen sokongan lain seperti pernyataan akaun bank, pernyataan kad kredit atau pernyataan EPF.

    Proses ini akan mengambil masa sehingga sebulan, dan anda akan mendapat laporan CCRIS anda.

     

    Check CCRIS secara online

    Macam mana nak check CCRIS?

    Bertenang.

    Ini ialah cara semak CCRIS yang paling mudah sekali.

    Anda boleh mendapatkan laporan CCRIS melalui sistem eCCRIS yang baru dilancarkan pada tahun 2018 oleh Bank Negara Malaysia.

    Cara-caranya:

    1. Buat pendaftaran dengan menghadiri cawangan Bank Negara Malaysia (BNM) terlebih dahulu.
    2. Semasa membuat pendaftaran, anda akan diberikan nombor PIN enam digit. Simpan nombor tersebut.
    3. Kemudian, buka laman web https://eccris.bnm.gov.my/.
    4. Pada laman tersebut, tekan link First Time Login.
    5. Kemudian, pada laman seterusnya, masukkan maklumat anda seperti kewarganegaraan anda di Nationality, ID Number dan juga nombor PIN yang anda peroleh semasa pendaftaran.
    6. Klik Submit.
    7. Ikuti arahan yang diberikan untuk melengkapkan proses pendaftaran eCCRIS anda.
    8. Setelah pendaftaran selesai, anda boleh login semula ke sistem eCCRIS ini dan pilih Enquiry untuk mendapatkan laporan CCRIS online daripada eCCRIS Bank Negara.

     

    CCRIS dan PTPTN

    Untuk pengetahuan anda, CCRIS juga telah diperkenalkan oleh PTPTN. Tujuannya adalah untuk mendidik peminjam agar berusaha melangsaikan hutang dan tidak menangguhkan pembayaran.

    Dalam CCRIS, rekod berkaitan PTPTN yang dicatatkan ialah rekod bayaran ansuran bulanan PTPTN bagi tempoh 12 bulan yang lepas. Sekiranya anda sebagai peminjam ingin mengeluarkan rekod PTPTN dari CCRIS, anda hendaklah membuat penyelesaian penuh hutang pinjaman dan rekod dalam CCRIS akan dikemaskini kepada ‘SELESAI’ dalam tempoh tujuh hari bekerja daripada tarikh bayaran dikemaskini dalam penyata PTPTN.

    Rekod CCRIS anda mungkin masih buruk sekiranya perkara ini berlaku:

    • Anda membuat bayaran, tetapi bayaran anda lewat daripada tetapan jadual. Misalnya, bayaran balik PTPTN hanya selepas setahun tamat pinjaman anda, sedangkan bayaran balik PTPTN adalah bermula enam bulan selepas tamat pinjaman.
    • Bayaran anda kurang daripada jumlah yang ditetapkan dalam Jadual Bayaran Balik (JBB).

    Yang penting, jangan sampai tak bayar hingga diisytihar bankrap.

     

    Akhir kata

    Kami harap agar perkongsian cara semak CCRIS ini dapat membantu anda.

    CCRIS memudahkan institusi kewangan untuk mengenal pasti mana-mana peminjam yang berpotensi untuk melanggar perjanjian pinjaman dan tidak membayar semula hutang pinjaman mereka mengikut perjanjian.

    Hutang adalah perkara yang berat dan sangat perlu dititik beratkan. Banyak implikasi kepada peminjam sekiranya hutang mereka gagal diselesaikan.

    Jadi, untuk mengelakkan kesusahan yang mungkin akan dihadapi pada masa hadapan, gunakanlah sebaik mungkin kemudahan yang Bank Negara Malaysia berikan kepada anda dengan melihat laporan CCRIS anda dan selesaikan semua hutang anda.

    Semoga bermanfaat.

    Adam Haris merupakan individu yang minat bidang computer security, cybersecurity, digital security dan information technology security (IT security). Adam juga berkongsi pengetahuan dan pandangan tentang topik berkaitan scam dan penipuan.

    3 Comments

    Leave A Reply