Pendaftaran BSN online dibuat di portal rasmi myBSN (www.mybsn.com.my). Anda perlukan kad ATM, debit atau kredit BSN, nombor kad pengenalan dan nombor telefon yang berdaftar dengan bank. Pendaftaran percuma dan boleh siap dalam masa 30 minit jika semua maklumat sudah lengkap di tangan.

Borang pendaftaran myBSN hanya dipaparkan dalam Bahasa Inggeris. Tak semua orang selesa dengan terma perbankan dalam Bahasa Inggeris, jadi panduan ini menterjemahkan setiap langkah dan istilah borang ke dalam Bahasa Melayu. Izinkan kami berkongsi.

Kelayakan dan Persediaan Sebelum Register myBSN

BSN menetapkan syarat berikut untuk pendaftaran perbankan internet myBSN:

  • Berumur 18 tahun ke atas
  • Mempunyai akaun BSN yang aktif
  • Mempunyai kad ATM, kad debit atau kad kredit BSN

Sebelum mula, sediakan tiga maklumat ini supaya pendaftaran berjalan lancar:

  • 16 digit nombor kad yang tertera di hadapan kad ATM, debit atau kredit BSN, berserta tarikh luput (expiry date)
  • Nombor CVV2, iaitu 3 digit di belakang kad
  • Nombor telefon yang berdaftar dengan BSN, kerana kod OTP akan dihantar ke nombor ini. Jika anda sudah bertukar nombor, sila kemaskini nombor telefon BSN anda dahulu

Cara Register BSN Online Dalam Bahasa Melayu

Ikuti langkah-langkah berikut untuk daftar myBSN buat kali pertama:

  1. Layari portal myBSN di https://www.mybsn.com.my. Tidak perlu melalui laman bsn.com.my dahulu
  2. Klik Register untuk ke skrin First Time Registration (pendaftaran kali pertama)
  3. Baca terma dan syarat yang dipaparkan. Tandakan Accept sebagai tanda bersetuju, kemudian klik Next. Jika anda menandakan Decline, sistem akan kembali ke halaman utama dan pendaftaran terbatal
  4. Masukkan 16 digit nombor kad ATM, debit atau kredit BSN anda, tarikh luput kad (Expiry Date) dan nombor CVV2
  5. Masukkan nombor kad pengenalan dan klik Next:
    • New IC Number untuk warganegara Malaysia yang memiliki MyKad
    • Old IC untuk individu yang masih menggunakan kad pengenalan lama
    • Passport atau Military IC untuk bukan warganegara atau anggota tentera
  6. Cipta Username (ID pengguna) pilihan anda
  7. Cipta kata laluan di ruangan Password dan taip semula kata laluan yang sama di ruangan Confirm New Password
  8. Tekan Request OTP. Kod OTP (kata laluan sekali guna) akan dihantar melalui SMS ke nombor telefon yang berdaftar dengan BSN
  9. Masukkan kod tersebut di ruangan OTP Number dan klik Confirm
  10. Pilih Online Image, iaitu imej keselamatan yang akan dipaparkan setiap kali anda log masuk. Imej ini membantu anda mengesahkan bahawa laman yang dilayari ialah laman myBSN yang sebenar
  11. Klik Submit. Skrin pengesahan akan dipaparkan dan pendaftaran myBSN anda selesai

First Time Login Selepas Pendaftaran

Selepas berjaya mendaftar, anda perlu melengkapkan BSN first time login untuk mengesahkan identiti buat kali pertama:

  1. Layari https://www.mybsn.com.my dan masukkan Username
  2. Sahkan Online Image yang dipaparkan ialah imej pilihan anda, kemudian masukkan Password
  3. Kemaskini butiran peribadi anda di skrin yang disediakan
  4. Pilih soalan rahsia dan masukkan jawapan anda. Soalan ini digunakan untuk pengesahan keselamatan akaun anda kelak

Untuk login kali kedua dan seterusnya, anda tidak perlu lagi mengisi soalan rahsia. Terus masukkan username, sahkan imej keselamatan dan masukkan kata laluan.

Aktifkan BSNSecure Sebelum Buat Transaksi

Pendaftaran myBSN sahaja belum membolehkan anda membuat pindahan wang. Transaksi di myBSN memerlukan pengesahan BSNSecure, iaitu ciri kelulusan transaksi dalam aplikasi myBSN.

Pendaftaran BSNSecure kali pertama pada peranti anda memerlukan pengaktifan melalui Pusat Perhubungan Pelanggan BSN di talian 1-300-88-1900 (atau +603-2613 1900 dari luar negara) antara 8 pagi hingga 10 malam, atau di mana-mana cawangan BSN. Selepas BSNSecure didaftarkan, tempoh bertenang 12 jam dikenakan sebelum transaksi pertama boleh dibuat. Langkah ini melindungi akaun anda daripada transaksi tanpa kebenaran.

Muat Turun Aplikasi myBSN

Selepas pendaftaran selesai, muat turun aplikasi myBSN di Apple App Store, Google Play Store atau Huawei AppGallery. Username dan password yang sama digunakan untuk log masuk ke aplikasi. Aplikasi ini juga diperlukan untuk kelulusan transaksi melalui BSNSecure.

Tidak Berjaya Daftar Online? Daftar di Cawangan

Jika pendaftaran online gagal, anda boleh mendaftar perbankan internet terus di kaunter mana-mana cawangan BSN. Bawa MyKad dan kad ATM atau kad debit BSN anda, kemudian isi borang pendaftaran perbankan internet yang disediakan.

Dua masalah pendaftaran online yang paling kerap berlaku:

  • OTP tidak diterima, biasanya kerana nombor telefon dalam rekod BSN sudah lama. Kemaskini nombor telefon anda dengan BSN dahulu, kemudian ulang pendaftaran
  • Tiada kad ATM atau kad debit. Permohonan kad perlu dibuat di cawangan sebelum pendaftaran myBSN boleh diteruskan

Untuk mengelakkan beratur lama, anda boleh buat temujanji online dengan cawangan terlebih dahulu. Sebarang pertanyaan lain boleh diajukan kepada khidmat pelanggan BSN di talian 1-300-88-1900.

Apa Boleh Dibuat Selepas Daftar myBSN?

Satu ID myBSN memberi akses kepada semua perkhidmatan perbankan internet BSN. Tidak perlu mendaftar portal lain. Antara perkhidmatan yang paling kerap digunakan:

  • Semak baki akaun dan e-penyata
  • BSN online transfer ke akaun BSN lain atau bank lain melalui DuitNow
  • Bayaran bil JomPAY dan tambah nilai prepaid

Akhir Kata

Diharapkan panduan register BSN online dalam Bahasa Melayu ini memudahkan urusan perbankan anda. Lengkapkan first time login dan pengaktifan BSNSecure sebaik sahaja selesai mendaftar, supaya akaun myBSN anda terus boleh digunakan sepenuhnya. Semoga bermanfaat.