Anda mesti dah biasa dengar macam-macam tentang insurans kan? Tak kisahlah benda yang baik atau buruk. Tapi, pernah tak sesekali anda terfikir apa sebenarnya kepentingan insurans ini sampaikan bersepah-sepah ejen insurans asyik push anda untuk ambil.

Tak apa, jangan susah-susah belek jawapan dekat tempat lain. Baca saja apa yang dah kami kongsikan di sini.

Kepentingan insurans

1. Persediaan untuk menghadapi risiko

Anda kena sentiasa ingat yang hidup ini tak sentiasa indah dan berjalan lancar seperti yang diharapkan.

Ada masanya anda akan diuji oleh pelbagai insiden yang tak terduga seperti kematian, jatuh sakit yang teruk dan sebagainya.

Jadi bila berlaku risiko seperti di atas, insurans yang telah anda ambil inilah yang akan bantu anda melalui waktu-waktu sukar tersebut.

Kalau sakit teruk dan perlu rawatan atau pembedahan segera yang mencecah kos sehingga belasan atau puluhan ribu.

Anda dah tak payah pening-pening fikir nak cari duit dekat mana.

Sebab, insurans anda lah yang akan tanggung semua itu untuk anda.

 

2. Kepentingan insurans untuk melindungi aset / harta

Kepentingan insurans ini tidak tertakluk hanya kepada diri anda sahaja.

Malah, insurans juga boleh dijadikan sebagai satu perlindungan untuk aset anda seperti kereta, motosikal, rumah dan lain-lain.

Sekiranya terjadi kemalangan, kenderaan yang ada insurans akan mempunyai kelebihan iaitu dapat tuntut ganti rugi atau claim daripada pihak insurans atas kerosakan yang dialami.

 

3. Boleh dijadikan sebagai simpanan

Kalau anda nak tahu, kepentingan insurans bukan saja untuk perlindungan.

Tapi ada juga insurans yang dicipta untuk simpanan.

Bagaimana ia berfungsi?

Pelan insurans dalam bentuk simpanan ini akan menyimpan wang yang telah anda laburkan sehingga sampai masa matang.

Seterusnya, wang tersebut akan dikembalikan semula kepada anda berdasarkan pengiraan peratus keuntungan yang ditetapkan oleh syarikat insurans tersebut.

 

4. Membantu waris kalau jadi apa-apa pada kita

Andaikan sesuatu telah terjadi kepada anda dan anda meninggal dunia.

Maka, sejumlah wang daripada pelan insurans anda akan diberikan kepada waris atau penama yang masih hidup.

Jadi, wang itulah sedikit-sebanyak dapat membantu ahli keluarga seperti isteri dan anak-anak anda yang masih hidup untuk meneruskan kehidupan selepas ketiadaan anda.

Iyalah, jika anda sebagai seorang suami atau ayah.

Pasti anda tak mahu isteri dan anak-anak anda hidup dalam kesusahan.

Lebih-lebih lagi apabila sebelum ini cuma anda satu-satunya tempat mereka bergantung.

 

5. Kepentingan insurans dapat melindungi kewangan

Simpan duit dekat rumah sendiri atau di bank, mana-mana pun ada risiko.

Tapi, bila anda simpan duit di bank dan anda ada insurans yang cover simpanan anda seperti “Sistem Insurans Deposit (DIS)” oleh PIDM.

Kalau berlaku apa-apa perkara diluar jangkaan seperti duit dalam akaun anda dicuri atau bank dirompak dan sebagainya.

Duit anda masih di bawah perlindungan.

So, anda tak akan rugi atau hilang 1 sen pun sebab pihak insurans ini yang akan bertanggungjawab.

 

Akhir kata

Diharapkan agar perkongsian mengenai kepentingan insurans ini dapat membuatkan anda lebih faham tentang keperluan insurans dalam kehidupan.

Walau bagaimanapun, anda jangan salah faham pula. Kami tak menyokong mana-mana pihak. Kami hanya menyampaikan kebaikan insurans yang perlu anda tahu.

Semuanya terserah kepada anda sendiri sama ada nak ambik insurans atau pun tak. Nak ambil pun tak apa, kalau ambil pun bagus juga.

Mana-manalah asalkan tak membebankan hidup anda dan tak buat anda jatuh miskin sehingga terdesak perlukan duit segera.

Jangan sampai begitu ya.

Sekian, jumpa lagi!

Adam Haris merupakan individu yang minat bidang computer security, cybersecurity, digital security dan information technology security (IT security). Adam juga berkongsi pengetahuan dan pandangan tentang topik berkaitan scam dan penipuan.

Leave A Reply