Bagi anda yang perlu membuat pemeriksaan kenderaan di PUSPAKOM, ambil perhatian: sistem temujanji telah bertukar. Mulai 4 Januari 2026, PUSPAKOM menggantikan MyPUSPAKOM (mypuspakom.com.my) dengan platform baharu bernama GiCheck. Semua temujanji pemeriksaan kenderaan kini dibuat di www.gicheck.my atau melalui aplikasi GiCheck di Google Play Store dan Apple App Store.
Satu lagi perubahan penting: PUSPAKOM telah menggantung pemeriksaan secara walk-in sejak Februari 2025 bagi mengelakkan kesesakan di cawangan. Maknanya, temujanji online adalah wajib untuk semua jenis pemeriksaan.
Izinkan kami berkongsi panduan terkini.
1. GiCheck menggantikan MyPUSPAKOM: apa yang berubah?
Sistem temujanji online PUSPAKOM mula diperkenalkan pada 2017 melalui MyPUSPAKOM. Pada 4 Januari 2026, sistem itu dipersarakan dan digantikan dengan GiCheck. Ini perubahan utamanya:
- Alamat portal bertukar daripada mypuspakom.com.my kepada www.gicheck.my.
- Aplikasi mudah alih MyPUSPAKOM dijenamakan semula sebagai GiCheck. Aplikasi baharu ini dilancarkan pada Februari 2026.
- Caj pemprosesan tempahan naik daripada RM3.50 kepada RM5.00.
- GiCheck berintegrasi terus dengan portal mySIKAP JPJ, jadi data kenderaan disemak secara automatik.
- Proses bayaran balik (refund) lebih telus berbanding sistem lama.
Tempahan boleh dibuat seawal 1 bulan dan selewat-lewatnya 12 jam sebelum tarikh temujanji, tertakluk kepada slot yang masih kosong.
2. Cara booking temujanji PUSPAKOM online melalui GiCheck
Berikut merupakan cara untuk membuat temujanji PUSPAKOM online di GiCheck:
- Layari www.gicheck.my atau buka aplikasi GiCheck.
- Daftar akaun baharu jika ini kali pertama, atau log masuk dengan e-mel dan kata laluan anda. Akaun MyPUSPAKOM lama tidak dibawa ke sistem baharu, jadi pengguna sedia ada perlu mendaftar semula.
- Masukkan butiran kenderaan seperti nombor pendaftaran dan jenis kenderaan.
- Pilih jenis dan tujuan pemeriksaan (contohnya pindah milik, sewa beli atau pemeriksaan berkala).
- Pilih negeri, cawangan, tarikh dan slot masa yang masih tersedia.
- Isikan butiran pembawa. Jika anda menghantar wakil, masukkan butiran wakil tersebut semasa membuat temujanji. Wakil perlu membawa MyKad atau pasport sebagai bukti identiti pada hari pemeriksaan.
- Semak ringkasan temujanji dan jumlah bayaran.
- Buat bayaran secara cashless melalui FPX, kad debit atau kredit, atau e-wallet. Caj pemprosesan tempahan ialah RM5.00, manakala fi pemeriksaan bergantung pada jenis kenderaan dan jenis pemeriksaan.
- Slip pengesahan temujanji akan dikeluarkan. Muat turun atau screenshot slip ini untuk rujukan pada hari pemeriksaan.
3. Apakah yang harus dilakukan pada hari pemeriksaan?
Semasa hadir ke pusat pemeriksaan, ikuti langkah berikut:
- Datang 20 minit sebelum atau tidak lewat daripada 10 minit selepas masa temujanji anda.
- Bawa set dokumen yang lengkap mengikut jenis pemeriksaan.
- Daftar di Kaunter Bayaran, kemudian tinggalkan kenderaan di lorong pemeriksaan.
- Tunggu di ruang menunggu yang disediakan. Pemeriksaan biasanya selesai dalam masa 1 jam.
- Selepas selesai, keputusan akan dimaklumkan di Kaunter Keputusan dan laporan pemeriksaan digital dihantar ke e-mel berdaftar anda.
Untuk makluman, PUSPAKOM mempunyai 54 pusat pemeriksaan tetap di seluruh negara serta lebih 26 lokasi lawatan. Waktu operasi pusat pemeriksaan ialah Isnin hingga Jumaat, 8.00 pagi hingga 5.00 petang, kecuali cawangan di Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu yang beroperasi Ahad hingga Khamis.
4. Bolehkah walk-in tanpa temujanji?
Tidak boleh. PUSPAKOM menggantung pemeriksaan secara walk-in sejak Februari 2025, termasuk untuk pemeriksaan semula selepas gagal. Langkah ini diambil bagi mengelakkan kesesakan dan memastikan setiap pemeriksaan dijalankan dengan teliti. Semua pemeriksaan, sama ada kenderaan persendirian atau komersial, wajib ditempah melalui GiCheck terlebih dahulu.
Jika anda perlukan pemeriksaan di lokasi sendiri, PUSPAKOM turut menawarkan perkhidmatan pemeriksaan bergerak (Mobile Truck, Light Mobile dan Mobile Van) yang juga ditempah melalui www.gicheck.my. Caj perkhidmatan bergerak bermula dari RM60 sekenderaan.
5. Adakah anda mengalami masalah ketika membuat temujanji online?
Sekiranya anda menghadapi masalah ketika membuat temujanji PUSPAKOM online atau ada pertanyaan lanjut, hubungi Pusat Khidmat Pelanggan PUSPAKOM di talian 03-5101 7000 pada waktu pejabat.
Anda juga boleh menghantar e-mel kepada customerservice@puspakom.com.my atau menggunakan Live Chat di laman web puspakom.com.my dan www.gicheck.my. Alamat e-mel sokongan lama support@mypuspakom.zendesk.com tidak lagi digunakan.
Akhir kata
Diharapkan perkongsian mengenai temujanji PUSPAKOM online melalui GiCheck ini dapat memberikan panduan kepada anda. Semoga urusan anda dipermudahkan dan berjalan dengan lancar. Jika kita mudahkan urusan orang lain, Tuhan akan mudahkan pula urusan kita.
Bagi urusan renew lesen dan road tax JPJ di Pos Malaysia secara online, anda boleh ikuti panduan temujanji Pos Malaysia online melalui pos.com.my.
Semoga bermanfaat.