Cara paling cepat untuk check KWSP guna IC ialah masukkan MyKad ke kiosk KWSP, imbas cap jari, dan cetak penyata. Untuk akses berulang dari telefon, daftar i-Akaun dahulu menggunakan IC, kemudian log masuk guna ID Pengguna. Satu perkara yang ramai tersilap faham: nombor IC sahaja bukan kata kunci untuk masuk akaun KWSP secara online. IC berperanan untuk mengesahkan identiti, bukan untuk membuka baki terus di laman web.
Panduan ini fokus pada langkah demi langkah, terutama jika anda lupa nombor ahli atau belum ada akses online. Kalau tujuan anda semata-mata lihat baki, rujuk panduan semakan baki KWSP guna IC yang menyusun setiap kaedah mengikut keadaan anda.
Boleh ke check KWSP guna IC sahaja?
Tidak boleh, jika maksudnya taip nombor IC di satu laman web dan terus nampak baki. KWSP sengaja sekat cara itu supaya simpanan anda tidak boleh dilihat oleh sesiapa yang kebetulan tahu nombor IC anda. Setiap kaedah rasmi memerlukan satu lapisan pengesahan tambahan, sama ada kata laluan i-Akaun, cap jari di kiosk, atau MyKad asal di kaunter.
Jadi berhati-hati dengan mana-mana laman web atau aplikasi pihak ketiga yang dakwa boleh "semak KWSP guna IC sahaja". Kebanyakannya cubaan phishing untuk curi nombor IC, nama dan butiran akaun anda. Masukkan maklumat peribadi hanya di laman rasmi KWSP atau aplikasi KWSP i-Akaun yang dimuat turun dari Google Play atau App Store.
Cara check nombor KWSP guna IC melalui telefon
Kaedah ini paling sesuai kalau anda lupa langsung nombor ahli KWSP dan tiada akses kiosk berdekatan. Talian ini lebih sesuai untuk dapatkan nombor ahli, kerana semakan baki tetap perlukan pengesahan yang lebih ketat.
- Hubungi Pusat Pengurusan Pelanggan KWSP (KWSP CMC) di talian 03-8922 6000
- Waktu operasi Isnin hingga Jumaat, 8 pagi hingga 5 petang, kecuali cuti umum
- Maklumkan anda mahu semak nombor ahli KWSP
- Pegawai akan minta nombor kad pengenalan dan nama penuh untuk pengesahan
- Selepas sahih, mereka akan berikan nombor ahli KWSP anda
Perlu diingat, KWSP tidak menyediakan semakan melalui SMS. Kalau anda perlukan nombor ini berulang kali, lihat juga cara semak nombor akaun KWSP yang tak ingat.
Cara check KWSP guna IC di kiosk
Kiosk inilah yang paling hampir dengan idea "check guna IC", kerana anda memang masukkan MyKad. Cara ini sesuai kalau anda belum daftar i-Akaun dan mahu nombor ahli serta baki terus tercetak, tanpa perlu beratur di kaunter.
- Cari kiosk KWSP terdekat, biasanya di cawangan KWSP, pusat membeli-belah utama dan beberapa bangunan UTC
- Masukkan MyKad ke dalam slot kiosk
- Imbas cap jari untuk pengesahan
- Pilih cetak penyata, dan nombor ahli serta baki akan dipaparkan
Cap jari di sinilah yang menggantikan kata laluan, jadi MyKad sahaja tidak memadai tanpa cap jari anda. Untuk cari mesin berhampiran, rujuk senarai lokasi kiosk KWSP.
Cara check KWSP guna IC di kaunter cawangan
Kalau anda lebih selesa berurusan dengan kakitangan, pergi terus ke kaunter cawangan KWSP. Selain semak nombor ahli dan baki, kakitangan boleh bantu daftar atau aktifkan i-Akaun anda serentak.
- Datang ke mana-mana cawangan KWSP terdekat
- Bawa MyKad asal, kerana salinan tidak diterima
- Ambil nombor giliran
- Tunggu sehingga nombor dipanggil
- Maklumkan urusan anda di kaunter
Cara check KWSP guna IC secara online melalui i-Akaun
Untuk semak nombor ahli dan baki dari rumah pada bila-bila masa, anda perlu i-Akaun. Di sinilah IC anda diguna sepenuhnya, iaitu untuk sahkan bahawa akaun itu betul-betul milik anda semasa pendaftaran. Selepas daftar, anda log masuk guna ID Pengguna dan kata laluan, bukan nombor IC.
Daftar i-Akaun guna aplikasi
Cara paling mudah ialah daftar sendiri melalui aplikasi KWSP i-Akaun dengan e-KYC, iaitu pengesahan wajah, tanpa perlu ke kaunter.
- Muat turun aplikasi KWSP i-Akaun dari Google Play atau App Store
- Pilih daftar i-Akaun, kemudian masukkan nombor kad pengenalan
- Lengkapkan e-KYC dengan imbas wajah mengikut arahan di skrin
- Tetapkan ID Pengguna dan kata laluan anda
- Selepas akaun aktif, log masuk untuk lihat nombor ahli di bahagian Profil
Kalau anda lebih suka rujukan bertulis langkah demi langkah, baca panduan cara daftar i-Akaun KWSP online.
Log masuk i-Akaun untuk lihat nombor dan baki
Selepas berjaya daftar, anda boleh masuk melalui laman web atau aplikasi. Kedua-duanya menunjukkan maklumat yang sama.
- Layari laman rasmi i-Akaun (Ahli) KWSP atau buka aplikasi KWSP i-Akaun
- Masukkan ID Pengguna, kemudian tekan Teruskan
- Pastikan Imej Keselamatan dan Frasa Rahsia anda betul, ini cara untuk sahkan laman itu rasmi
- Masukkan Kata Laluan, kemudian tekan Log Masuk
- Buka bahagian Profil untuk lihat nombor ahli KWSP anda
Jika anda tersekat di bahagian log masuk, rujuk panduan log masuk i-Akaun KWSP untuk langkah lengkap.
Kaedah mana paling sesuai untuk anda?
Pilihan bergantung pada keadaan anda sekarang:
- Lupa nombor ahli, tiada i-Akaun – telefon KWSP CMC, atau guna kiosk untuk cetak terus
- Mahu akses online berulang – daftar i-Akaun guna aplikasi, kemudian log masuk bila-bila masa
- Nombor telefon TAC sudah tukar – ini perlu pengesahan MyKad, jadi pergi ke kiosk atau kaunter
- Mahu cetak penyata rasmi – guna kiosk, atau muat turun dari i-Akaun
Selepas dapat akses, anda boleh muat turun penyata KWSP untuk simpanan rekod sendiri atau permohonan pembiayaan.